Berita baik untuk kaki travel, Pasport Malaysia kini ada tempoh sah laku sehingga 10 tahun

Berita baik untuk kaki travel, Pasport Malaysia kini ada tempoh sah laku sehingga 10 tahun

PUTRAJAYA – Berita baik buat rakyat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara apabila perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) menerusi sistem MyOnline Passport kini menawarkan pilihan tempoh sah laku lima atau 10 tahun bermula hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan kemudahan baharu itu membolehkan pemohon memilih tempoh sah laku pasport mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

pasport malaysia

Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

Sebelum ini, perkhidmatan pembaharuan pasport secara dalam talian menerusi MyOnline Passport hanya menawarkan pilihan tempoh sah laku lima tahun.

Dengan pelaksanaan terbaharu ini, pemohon yang ingin mendapatkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun juga boleh membuat pembaharuan melalui sistem berkenaan tanpa perlu bergantung kepada permohonan secara hadir ke pejabat imigresen.

Dari segi bayaran, pasport dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada kadar RM200 bagi warganegara berumur 18 hingga 59 tahun, manakala pilihan 10 tahun dikenakan bayaran RM350.

Bagi warganegara berumur 60 tahun dan ke atas, kadar bayaran ditetapkan sebanyak RM100 untuk pasport lima tahun dan RM175 bagi tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, pilihan pasport 10 tahun tidak ditawarkan kepada semua kategori pemohon. Antaranya, pemohon berumur bawah 18 tahun masih tertakluk kepada tempoh sah laku lima tahun.

Pelaksanaan pilihan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha JIM meningkatkan kemudahan perkhidmatan imigresen serta memberikan lebih fleksibiliti kepada rakyat dalam urusan pembaharuan dokumen perjalanan.

Orang ramai boleh mengakses perkhidmatan berkenaan menerusi portal rasmi MyOnline Passport Jabatan Imigresen Malaysia.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)