TAWAU – Dalam usaha berterusan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, Politeknik Tawau Sabah (PTS) menganjurkan program Miles of Smile Fun Run 2025, yang berlangsung dengan meriah dan penuh semangat serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan komuniti.
Larian santai sejauh 7 kilometer itu menghimpunkan 113 peserta daripada kalangan pelajar PTS, warga kerja institusi pendidikan tinggi lain, dan komuniti sekitar daerah Tawau. Program ini bukan sahaja menjadi platform riadah, tetapi turut menyemarakkan semangat perpaduan dan gaya hidup sihat. Hal ini sejajar dengan tema program, “Melangkah Bersama, Mewarnai Komuniti.”
Memperkasa Gaya Hidup Sihat
Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Said Hassan Said Idris, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau. Beliau hadir mewakili Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui. Dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaan terhadap usaha Politeknik Tawau dalam memperkasa inisiatif kesihatan awam melalui pendekatan mesra komuniti.
“Program seperti ini amat penting dalam menyemai kesedaran kesihatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda. Ia juga menunjukkan keprihatinan institusi pendidikan dalam memainkan peranan membentuk komuniti sihat dan bersatu,” katanya.
Menurut Pengarah Politeknik Tawau, YBrs. Encik Mohd Sahran @ Awang bin Mohidin, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada komitmen institusi untuk menjadi peneraju dalam pembangunan komuniti yang bukan hanya berilmu, tetapi juga sihat secara fizikal dan mental.
“Miles of Smile Fun Run bukan sekadar acara larian. Ia adalah simbol kebersamaan dan peranan warga politeknik sebagai agen perubahan sosial yang aktif menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan. Antaranya pameran kesihatan, senamrobik, kempen derma darah, serta segmen hiburan ringan dan cabutan bertuah yang berjaya menarik perhatian pengunjung dari pelbagai lapisan umur.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Kerjasama Erat Cetus Gelombang Sihat
Kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau, Hospital Semporna dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini. Penajaan dalam bentuk hadiah, barangan promosi dan bantuan logistik juga telah menyemarakkan lagi suasana.
Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada pelajar PTS untuk menonjolkan kemahiran dalam perancangan, pengurusan acara dan kepimpinan. Sekali gus menyemai rasa tanggungjawab sosial dan kerjasama dalam kalangan mereka.
Para peserta yang ditemui rata-rata melahirkan rasa puas hati terhadap pengisian program. Hal ini kerana, program yang berlangsung bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi kesedaran mendalam tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Politeknik Tawau Sabah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Termasuk sukarelawan dan penyumbang yang telah sama-sama memastikan kelancaran dan kejayaan program.
Dengan sokongan yang berterusan, Politeknik Tawau bertekad untuk terus menjadikan gaya hidup sihat sebagai budaya. Selain itu, turut dijadikan sebagai amalan berterusan dalam kalangan pelajar dan komuniti melalui lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa akan datang.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.