Mangsa Kebakaran Akan Terus Dibantu, Keselamatan Komuniti Jadi Keutamaan

TAWAU – Mangsa kebakaran di kawasan Kampung Tanjung Batu Laut akan terus dibantu sebaik mungkin melalui kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan agensi-agensi lain.

Menurut YB Datuk Andi Suryady Bandy, Ahli Parlimen Kalabakan merangkap ADUN Tanjung Batu, bantuan segera termasuk barangan dapur, keperluan pembersihan diri serta sumbangan kewangan telah disalurkan bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

“Kita berharap penduduk kampung dapat bersabar dan saling memperingatkan antara jiran, terutama dalam soal keselamatan dan sokongan sesama komuniti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan Agensi Perumahan Tempatan (APT) bagi menempatkan sementara mangsa kebakaran yang tiada tempat bergantung, di unit kosong Program Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Seri Tawau di Gudang 4.

“Kita faham PPR ketika ini melalui proses pemutihan dan banyak unit telah dikenal pasti tidak dihuni oleh golongan yang layak. Maka kita mohon agar keutamaan diberikan kepada mangsa kebakaran yang benar-benar memerlukan tempat perlindungan,” katanya.

Datuk Andi turut menyatakan harapannya agar Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan APT dapat memberi ruang kepada mangsa untuk menumpang di PPR buat sementara waktu sehingga mereka memperoleh rumah kekal.

Beliau turut menyentuh isu pemutihan unit PPR yang sedang berlangsung, di mana ada unit dihuni secara tidak sah atau menggunakan nama pihak lain. Ini katanya membuka ruang untuk penstrukturan semula agihan unit kepada mereka yang benar-benar layak termasuk mangsa bencana seperti kebakaran.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Fokus Kesedaran Keselamatan Kebakaran

Dalam temu bual sama, Datuk Andi juga menekankan pentingnya peningkatan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan penduduk kampung, khususnya di kawasan rumah kayu atas air yang berisiko tinggi.

“Di peringkat DUN, kita telah tubuh beberapa komuniti kesiapsiagaan kebakaran dan bina ‘fire point’ di kawasan strategik, namun tahap kesiapsiagaan masih perlu ditingkatkan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ada penduduk yang bertindak pantas memutuskan rantaian api ketika kejadian dengan merobohkan rumah bersebelahan, sekaligus menyekat kebakaran dari merebak.

“Ilmu asas seperti ini sangat penting. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada bomba. Penduduk perlu dilatih dan sentiasa diingatkan tentang langkah awal ketika berlaku kebakaran,” jelasnya lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa program pendedahan dan latihan pengurusan kebakaran akan diteruskan secara berkala melalui kerjasama UPPM dan agensi-agensi berkaitan.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *