Tawau Road Race Pacu Pelancongan Antarabangsa ke Tawau

TAWAU – Sukan berbasikal bukan sahaja menguji ketahanan fizikal malah terbukti menjadi platform strategik untuk memperkenalkan Tawau di mata dunia. Ini dibuktikan melalui penganjuran Tawau Road Race 3.0 yang berjaya menarik penyertaan lebih 300 pelumba termasuk peserta dari Australia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Menurut YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, program anjuran Kelab Tono Cycle dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu menunjukkan komitmen tinggi penganjur dalam menjadikan Tawau sebagai destinasi sukan berbasikal bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran tahun ini lebih mencabar apabila jarak perlumbaan ditingkatkan daripada 90 kilometer kepada 105 kilometer, sekali gus menepati piawaian pertandingan antarabangsa. Perkara itu, katanya, turut disambut baik oleh pelumba dalam dan luar negara yang memuji cabaran laluan serta keindahan semula jadi yang ditawarkan oleh bumi Tawau.

“Kita amat bersyukur kerana edisi kali ini berjaya menarik perhatian pelumba luar negara. Ini satu petanda positif bahawa Tawau semakin dikenali di peringkat antarabangsa melalui sukan,” katanya.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Tambah beliau, Tawau Road Race bukan sekadar acara sukan, tetapi menjadi medium untuk mempromosikan keunikan daerah Tawau sebagai titik pertemuan pelbagai bangsa, agama dan budaya. Kombinasi elemen pelancongan, kesihatan dan sukan menjadikan acara ini sangat bermakna dalam usaha menjenamakan Tawau sebagai destinasi pelancongan sukan.

Datuk Nizam turut menyatakan harapan agar penganjuran Tawau Road Race 4.0 pada tahun 2026 akan lebih mantap dengan jumlah penyertaan yang lebih tinggi serta pengiktirafan rasmi daripada badan sukan berbasikal antarabangsa.

“Saya yakin kesinambungan program ini dapat membina komuniti belia yang aktif dalam sukan serta memperkukuh ekonomi tempatan melalui kehadiran pelancong dan peserta luar negara,” katanya.

Dengan reputasi Tawau yang sudah beberapa kali menjuarai kejohanan berbasikal di peringkat negeri dan kebangsaan, beliau percaya acara seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai anak muda dalam sukan berprestasi tinggi dan seterusnya mengharumkan nama daerah serta negeri Sabah.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *