Kemalangan Dua Motosikal di Jalan Utara Baru, Seorang Kritikal

TAWAU – Seorang lelaki berusia 38 tahun dilaporkan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Utara Baru, di sini awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin bin Piuh, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.25 pagi apabila seorang pelajar tingkatan tiga yang menunggang motosikal Honda RS-X 150 dari arah Kampung Sri Menanti menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha HVX Scooter.

“Motosikal Yamaha HVX itu ditunggang seorang lelaki bersama isteri, 34, serta dua anak mereka berusia 9 dan 4 tahun, dalam perjalanan menghantar anak ke Sekolah Islamiah,” katanya.

Akibat pertembungan tersebut, pelajar terbabit mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri, manakala penunggang Yamaha HVX mengalami kecederaan parah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal. Isteri serta dua anaknya bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Polis turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Razlan bin Razan di talian 019-8234484 bagi membantu siasatan.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *