TAWAU – Suasana malam di bandar Tawau pada Jumaat lalu menyaksikan lautan manusia daripada pelbagai lapisan umur, kaum dan agama berkumpul dengan satu tujuan – menuntut keadilan untuk seorang gadis kecil, Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai menjadi mangsa buli.
Himpunan aman yang dihadiri kira-kira 5,000 ribu orang ini dianjurkan oleh Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) dengan sokongan masyarakat setempat. Ia bermula tepat jam 8 malam, diselangi dengan bacaan doa, vigil solidariti, penerangan mengenai kes kematian Zara, serta pidato daripada mahasiswa, rakyat, dan wakil suara ibu serta wanita.
Pengerusi IKAT merangkap mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Khairul Abidin Hasanuddin, menegaskan bahawa himpunan ini adalah simbol solidariti masyarakat Tawau terhadap isu buli yang semakin membimbangkan.
“Kami tiada pertalian darah dengan Zara, tetapi isu buli ini bukan perkara baharu. Malah, kita pernah dikejutkan dengan kes kematian seperti yang menimpa Muhd Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu. Lebih 23 hari berlalu sejak kematian Zara, tetapi tiada jawapan konkrit yang mampu memberi rasa keadilan untuknya,” katanya ketika ditemui media.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Beliau turut menekankan supaya siasatan kes ini dijalankan tanpa pilih kasih atau ‘double standard’, memandangkan wujud pelbagai spekulasi yang mengaitkan pelaku dengan individu berpengaruh.
“Kami tidak mahu ada tangan-tangan yang cuba melindungi mereka yang terlibat hanya kerana status atau kedudukan. Biarlah undang-undang ditegakkan sama rata, demi memastikan Zara pergi dengan tenang dan menjadi titik tolak kepada penambahbaikan undang-undang buli di negara ini,” tegasnya.
Himpunan itu berakhir dalam suasana penuh tenang, namun jelas meninggalkan mesej lantang bahawa masyarakat Tawau tidak akan berdiam diri apabila keadilan dipertaruhkan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.