Seni Mempertahankan Diri Bentuk Sahsiah Anak Muda

anak muda

TAWAU: Penglibatan anak-anak muda dalam seni mempertahankan diri seperti silat bukan sekadar untuk kekuatan fizikal, malah berperanan besar dalam membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri yang kukuh, khususnya dalam berdepan cabaran sosial masa kini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, seni silat merupakan satu medium pendidikan tidak formal yang berkesan dalam membentuk generasi muda yang seimbang dari segi jasmani, mental dan rohani.

Menurut beliau, seni silat juga merupakan warisan budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat-menghormati dan kekuatan dalaman dapat terus subur dalam masyarakat.

anak muda
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berucap di Majlis Tutup Gelanggang

“Seni mempertahankan diri bukan sekadar gelanggang latihan fizikal, tetapi satu proses tarbiah yang membentuk keperibadian, akhlak serta kekuatan rohani anak-anak muda,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Gelanggang Seni Silat Gayong Panji Alam Malaysia Peringkat Pantai Timur Sabah, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, penglibatan hampir 400 pesilat dari Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu dalam program berkenaan membuktikan seni mempertahankan diri masih relevan dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Baca Juga : Penunggang Motorsikal Maut di Sungai Burung

“Program sebegini memberi impak besar kepada pembangunan belia. Ia menjadi saluran positif untuk anak-anak muda menyalurkan tenaga, membina disiplin diri serta menjauhkan mereka daripada gejala sosial yang merugikan,” katanya.

Nizam turut menekankan peranan guru-guru silat dan pengasas pertubuhan dalam memastikan seni mempertahankan diri terus berkembang sebagai platform pembinaan insan, bukan sekadar aktiviti fizikal semata-mata.

Seni Silat Mampu Mendidik Anak Muda

Sehubungan itu, beliau berharap seni silat Gayong Panji Alam dapat diperluaskan ke sekolah rendah dan menengah bagi memberi pendedahan awal kepada murid dan pelajar.

“Jika kita perkenalkan seni mempertahankan diri sejak di bangku sekolah, ia mampu membentuk anak-anak menjadi insan yang berdisiplin, berkeyakinan dan memiliki jati diri yang kukuh,” katanya.

Selain itu, beliau berkata seni silat juga mampu mendidik generasi muda agar lebih dekat dengan nilai ketakwaan, menghormati guru serta mencontohi sirah dan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

anak muda
Datuk Nizam ketika ditemuramah media

Dalam majlis sama, Nizam mengumumkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa seni silat, masing-masing RM10,000 kepada Pertubuhan Seni Silat Gayong Panji Alam Malaysia Pusat dan RM10,000 kepada cawangan Tawau.

Beliau turut menerima anugerah bengkung hitam sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangannya dalam pembangunan seni silat Gayong Panji Alam.

Nizam berharap lebih ramai anak muda Sabah dapat melibatkan diri secara aktif dalam seni mempertahankan diri sebagai usaha berterusan memelihara warisan bangsa, memperkukuh perpaduan dan melahirkan generasi yang seimbang dari segi fizikal, mental dan rohani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *