TAWAU – Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 32 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dan motosikal di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas Balung, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 6.05 pagi, namun kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

Kemalangan Babit Lori Nissan dan Motosikal Yamaha
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan sebuah lori rigid jenis Nissan yang membawa muatan baja dan sebuah motosikal Yamaha 135LC. Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.
“Siasatan mendapati pada 17 Disember 2025 kira-kira jam 10.30 malam, lori tersebut mengalami kerosakan mekanikal serius ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Beluran, menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca Juga : UMS Sahkan Kematian Pelajar
Beliau berkata, lori berkenaan kemudiannya berhenti di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas dan tidak dialihkan dari laluan utama selama hampir dua hari. Kawasan kejadian juga didapati tidak mempunyai lampu jalan selain tiada sebarang papan tanda amaran atau peranti keselamatan diletakkan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.
Pada 19 Disember 2025 kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerja di Kilang Teck Guan telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, ACP Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya memastikan kenderaan yang mengalami kerosakan dialihkan ke tempat selamat serta memasang papan tanda amaran, terutamanya di kawasan gelap.
“Langkah-langkah keselamatan ini amat penting bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.



