TAWAU: Kerajaan Sabah menerusi inisiatif Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) akan merealisasikan pembinaan 50 buah rumah bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun 2026, termasuk tambahan kuota khas untuk golongan belia berumur bawah 40 tahun.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sebelum ini setiap DUN diperuntukkan sebanyak 40 unit Rumah SMJ, namun jumlah itu akan ditambah dengan 10 unit lagi yang dikhususkan kepada belia yang baru berkeluarga atau baru mendirikan rumah tangga.

“Penambahan ini selari dengan halatuju Sabah Maju Jaya di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai yang berlangsung di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan, di sini.
Menurut Datuk Nizam, bantuan perumahan merupakan antara pendekatan paling berkesan dalam membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan belia yang sedang memulakan kehidupan lebih stabil.
Baca Juga : Silat Bentuk Sahsiah Anak Muda
Bantuan Rumah Beri Impak Kepada Belia
“Bantuan rumah ini sangat besar impaknya kepada belia. Ia bukan sahaja memberi tempat tinggal yang selesa, malah mengurangkan beban kewangan mereka dalam fasa awal berkeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif berbentuk bantuan langsung dan program kemasyarakatan.
Mengulas program berkhatan beramai-ramai tersebut, Datuk Nizam berkata program tahunan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Titingan bersama pengurusan Masjid Babul Khair, dengan penyertaan puluhan kanak-kanak dari keluarga setempat.
“Program ini ditaja sepenuhnya oleh saya selaku ADUN kawasan dengan sokongan Ahli Parlimen Tawau. Ia bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan kerana anak-anak mereka menjalani proses berkhatan secara percuma,” katanya.

Beliau menjelaskan, kaedah berkhatan yang digunakan juga adalah teknologi moden, berbeza daripada kaedah konvensional, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan dan mempercepatkan proses penyembuhan.
“Sebagai wakil rakyat, inilah usaha kecil kami untuk membantu keluarga yang memerlukan, khususnya dalam hal kebajikan anak-anak,” katanya.
Datuk Nizam berharap pelaksanaan Rumah SMJ dan pelbagai program kebajikan lain dapat terus dipertingkatkan pada masa akan datang agar lebih ramai rakyat, khususnya golongan belia dan berpendapatan rendah, dapat menikmati manfaatnya.
“Insya-Allah, kita harap usaha ini akan terus diperluaskan dan rakyat dapat bersama-sama mensyukuri segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.



