Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Liga Rakyat Demokratik (LRD) senada menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berundur daripada jawatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam kes penyelewengan dana 1MDB.
BERSIH dalam Kenyataan Media Jawatankuasa Pemandu BERSIH bertarikh 27 Disember 2025 menyambut baik sabitan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Namun, gabungan itu menegaskan keputusan mahkamah tidak seharusnya menjadi noktah akhir dalam usaha membanteras kleptokrasi tanpa reformasi institusi yang menyeluruh.
BERSIH turut menekankan keperluan segera mereformasi kuasa pelantikan institusi utama termasuk badan kehakiman, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya, selain melaksanakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi mengelakkan pendakwaan bermotif politik serta memastikan kebebasan institusi.
Sementara itu Hamdin Nordin, Presiden Liga Rakyat Demokratik (LRD) menegaskan Azam Baki wajar berundur kerana naratif SPRM sebelum ini (2015) yang mengesahkan dana RM2.6 bilion sebagai derma telah dipatahkan oleh keputusan mahkamah. Menurut LRD, pengunduran tersebut penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi utama memerangi rasuah.
Mahkamah Tinggi pada Jumaat mendapati bekas Datuk Seri Najib Razak bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.


