TRIVIA | Mengenang setahun Gempur Rasuah Sabah

Gempur Rasuah Sabah
Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah | Pada tarikh hari ini, setahun yang lepas sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencetus satu detik penting dalam sejarah demokrasi di Sabah melalui demonstrasi Gempur Rasuah Sabah. Pada tarikh inilah, jalan raya di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) menjadi saksi kebangkitan anak muda yang menolak untuk terus berdiam diri apabila rasuah didakwa dinormalisasi dalam sistem pemerintahan negeri. Idea kepada demonstrasi ini bukan tercetus secara tiba-tiba, sebaliknya lahir daripada kesedaran yang matang dan keinginan untuk membela masa depan Sabah daripada diragut oleh penyalahgunaan kuasa.
Sebelum demonstrasi berlangsung, suasana politik dan sosial di Sabah berada dalam keadaan tegang. Pendedahan demi pendedahan berkaitan skandal rasuah dan kerosakan infrastruktur asas (jalanraya, air, elektrik) menjadi perbualan harian rakyat. Justeru kumpulan mahasiswa kecil yang saban hari terdedah kepada wacana kritikal di ruang universiti mula merasakan bahawa sikap berdiam diri hanya akan mengabsahkan kebobrokan yang sedang berlaku.
Dari perbincangan kecil di rumah sewa, kolej kediaman, pertemuan tidak rasmi sesama aktivis kampus dan pertukaran pandangan dalam ruang maya, lahirlah kesepakatan dan ketegasan bahawa satu tindakan kolektif perlu diambil. Maka, Gempur Rasuah Sabah dirancang sebagai satu pernyataan moral, bukan untuk mencetuskan huru-hara, tetapi untuk mengingatkan bahawa rakyat masih berani bersuara.
Pada hari demonstrasi, mahasiswa berarak sepanjang 3 kilometer dari pagar utama UMS menuju ke hadapan PPNS dengan sepanduk buatan tangan, laungan yang tegas dan semangat membara. Tiada tokoh politik menumpang populariti, tiada pentas besar atau retorik kosong. Yang hadir hanyalah suara mahasiswa dan rakyat yang percaya bahawa rasuah adalah musuh bersama. Namun, apa yang menjadikan demonstrasi ini benar-benar unik ialah konteks yang mengelilinginya.
Pada tarikh dan lokasi yang sama, sebuah ‘Karnival Ria’ turut dianjurkan di lokasi sama buat pertama kali dalam sejarah, lengkap dengan hiburan dan suasana riang. Gerakan mahasiswa mendakwa karnival yang tiba-tiba diadakan itu bertujuan mengaburkan mesej protes yang sedang berlangsung. Dalam masa yang sama, satu lagi himpunan yang dikenali sebagai ‘Himpunan Bangkit Sabahan’ muncul untuk bertembung dengan kumpulan mahasiswa. Tiga peristiwa berbeza, satu lokasi, dalam satu hari, satu gambaran jelas bagaimana pada hari itu demokrasi rakyat benar-benar diuji di ruang awam.
Di tengah tekanan, provokasi dan cubaan mengalih perhatian, mahasiswa UMS memilih untuk kekal tenang dan berprinsip. Mereka tidak melayan emosi, tidak terperangkap dalam pertembungan dan tidak menyimpang daripada tujuan asal. Demonstrasi tersebut kekal berjalan tegas. Sikap ini menghantar mesej yang kuat bahawa perjuangan menentang rasuah menuntut keberanian moral dan disiplin yang tinggi. Jalan raya di PPNS pada hari itu menjadi medan kesedaran, di mana rakyat diperlihatkan contoh matang bagaimana hak berhimpun digunakan secara jujur dan berani.
Tuntutan yang dibawa melalui Gempur Rasuah Sabah juga jelas dan tidak berkias. Mahasiswa menuntut siasatan menyeluruh dan bebas terhadap semua kes rasuah berprofil tinggi di Sabah, pengunduran Ketua Menteri, bantahan terhadap lantikan TYT, pendakwaan tanpa pilih kasih, serta pembaharuan institusi agar badan penguatkuasaan benar-benar bebas daripada pengaruh politik. Mereka turut menegaskan keperluan ketelusan dalam tadbir urus negeri dan mempertahankan hak rakyat untuk bersuara tanpa intimidasi. Tuntutan ini bukan bersifat ekstrem, sebaliknya mencerminkan asas sebuah demokrasi yang sihat dan berfungsi.
Selepas demonstrasi berakhir, tiada perubahan drastik yang berlaku dalam sekelip mata. Namun kesannya tidak boleh dipandang remeh. Hakikatnya ketika pra, semasa dan pasca Gempur Rasuah Sabah secara tidak langsung telah merancakkan lagi perbincangan awam tentang rasuah di Sabah, wacana mengenai rasuah dituturkan di kampung-kampung, memecahkan ketakutan untuk bersuara dan mengembalikan peranan mahasiswa sebagai suara nurani masyarakat. Ia membuktikan bahawa demokrasi tidak terhenti di peti undi, tetapi terus hidup melalui keberanian rakyat untuk menegur dan mengawasi kekuasaan.
Setahun kemudian, Gempur Rasuah Sabah dikenang bukan sebagai satu nostalgia, tetapi sebagai peringatan bahawa perjuangan ini masih belum selesai. Rasuah belum tumbang sepenuhnya, dan itulah sebabnya jalan raya tidak seharusnya sunyi. Demonstrasi bukan ancaman kepada negara, tetapi bukti bahawa rakyat masih peduli dan enggan tunduk kepada kerosakan yang berlaku. Jika mahasiswa boleh berdiri di tengah tekanan, provokasi dan ancaman, maka tiada alasan untuk rakyat terus memilih diam.
Hari ini, Sabah memasuki tahun baru 2026, menandakan genap 63 tahun Sabah merdeka dan bersama dalam pembentukan Malaysia. Namun memasuki tahun baru juga, rakyat masih melihat krisis bekalan air yang kritikal berlaku seperti di Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan. Setiap hari suapan media sosial rakyat penuh dengan video jalanraya yang rosak berlubang bertahun-tahun. Gerakan mahasiswa percaya ia didorong dari kerosakan sistem yang membarah di negeri ini. Justeru, jeritan terpendam selama ini perlu diluahkan. Biar bahananya meletup ke setiap penjuru negara, biar membengang segala gegendang telinga rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *