KOTA KINABALU, 24 Februari 2026 – Syarikat kreatif dari Tawau, Brown Eyes Production, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 bagi Kategori 1 dalam satu anugerah berprestij peringkat negeri baru-baru ini.
AKIS merupakan platform pengiktirafan yang menilai perniagaan secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan jualan tahunan. Penilaian turut merangkumi aspek pengurusan profesional, keupayaan berinovasi, konsistensi kualiti, pematuhan kepada standard industri serta impak terhadap ekonomi dan pembangunan industri negeri.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh YB Datuk Ewon Benedick selaku Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 6 Februari lepas.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, wakil Brown Eyes Production, Lala, meluahkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.
“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan besar buat kami apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah 2024/2025 bagi Kategori 1 dan diiktiraf sebagai salah satu syarikat tempatan yang cemerlang dalam industri Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dengan kerjasama MPC, MIDA, SME Corp Malaysia, MATRADE, MIDF, MITI dan SIRIM atas pengiktirafan serta sokongan berterusan terhadap pertumbuhan usahawan tempatan.
Menurutnya, anugerah berkenaan bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti kepada perjalanan panjang syarikat, keberanian untuk berinovasi serta keyakinan bahawa industri kreatif dari Tawau mampu berdiri setara dan bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Anugerah ini juga adalah hasil kerja keras pasukan kami, sokongan keluarga, klien dan semua yang sentiasa mempercayai hasil kerja dan mendoakan kami. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan.
“Pengiktirafan ini bukanlah penamat. Ini adalah tanda aras baharu untuk kami melangkah lebih jauh dan membuka lebih banyak peluang untuk membawa nama Tawau ke mata dunia. InshaAllah,” katanya lagi.

AKIS yang diperkenalkan sejak 2007 dan dianjurkan setiap dua tahun sekali terus menjadi platform penting dalam mengiktiraf kecemerlangan syarikat tempatan serta memperkasa budaya pengurusan dan daya saing industri di Sabah.
Brown Eyes Production memenangi kategori usahawan IKS Tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta. Manakala pemenang bagi Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta dimenangi oleh The Best Solution Management Sdn.Bhd.

Bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta dimenangi oleh Twinine Sdn.Bhd. Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta dimenangi Kedai Emas Osheen Jaya Sdn.Bhd.
Onaki Sdn.Bhd pula memenangi anugerah kategori syrikat tempatn dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM50 juta.
Manakala kategori terbuka iaitu syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM50 juta atau syarikat milik asing dimenangi oleh Jetsin Sdn.Bhd
#TawauKini





