CEO IDS kongsi pandangan pembukaan Konsulat India di Sabah

CEO IDS

TERKINI | Cadangan pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman keselamatan atau kemasukan warga asing secara tidak terkawal, sebaliknya merupakan peluang strategik untuk memperkukuh hubungan antarabangsa serta merancakkan ekonomi Sabah.

Ketua Pengarah Eksekutif Institute for Development Studies (Sabah) (IDS), Datuk Dr. Ramzah Dambul berkata, kebimbangan segelintir pihak yang mengaitkan pembukaan konsulat dengan kemasukan warga India secara haram adalah tidak berasas dan berpunca daripada salah faham terhadap fungsi sebenar sesebuah konsulat.

Beliau melihat ramai yang panik seolah-olah konsulat tersebut akan membuka pintu kepada kemasukan manusia secara berduyun-duyun. Hakikatnya, konsulat berperanan sebagai fasilitator urusan diplomatik dan dokumentasi rasmi, sekali gus membantu pergerakan keluar masuk manusia secara lebih sistematik dan terkawal, menurutnya.

Menurut beliau, Sabah sering menyuarakan keperluan untuk menarik pelaburan, pelancongan serta jaringan antarabangsa yang berimpak tinggi, namun reaksi negatif timbul apabila negara besar seperti India menyatakan hasrat membuka konsulat di negeri ini.

Beliau turut menjelaskan, kehadiran konsulat juga berpotensi memacu perdagangan dan pelancongan secara sah serta terurus, selain memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah yang mempunyai urusan ke India.

“Dianggarkan hampir 15,000 rakyat Sabah berkunjung ke India setiap tahun bagi pelbagai tujuan. Ketika ini, mereka terpaksa memohon visa secara dalam talian atau berurusan melalui Kuala Lumpur, yang memakan masa dan kos lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu akan memudahkan urusan secara fizikal, sekali gus menjimatkan masa dan kos, selain lebih mesra pengguna.

Dari sudut pelancongan, beliau memaklumkan bahawa walaupun Malaysia menerima sekitar 1.13 juta pelancong dari India pada tahun 2024, hanya kira-kira 9,000 orang melawat Sabah, bersamaan kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Dengan kewujudan konsulat, jumlah pelancong India ke Sabah dijangka meningkat antara tiga hingga lima peratus, atau sekitar 30,000 hingga 45,000 orang setahun. Ini berpotensi menjana sehingga RM100 juta dalam kitaran ekonomi tempatan,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan pembukaan konsulat itu sebagai satu pengiktirafan simbolik terhadap kedudukan Sabah dalam jaringan antarabangsa, khususnya apabila India merupakan ahli BRICS dan sedang muncul sebagai kuasa ekonomi global.

“Ini mesej jelas bahawa Sabah bukan lagi wilayah pinggiran, sebaliknya nod penting dalam jaringan antarabangsa dan berpotensi menjadi pintu gerbang utama bagi Borneo serta rantau ASEAN timur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sabah perlu konsisten dengan naratif keterbukaan global sekiranya mahu muncul sebagai wilayah kosmopolitan yang berdaya saing, dan tidak terus terperangkap dalam pemikiran sempit serta pesimisme terhadap peluang besar yang ditawarkan dunia.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *