KUALA LUMPUR, 25 Februari 2026 – Gesaan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki terus menerima tekanan hebat apabila Jawatankuasa Pemandu BERSIH hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terbaharu terhadap beliau.
Dalam kenyataan media hari ini, BERSIH menyambut baik cadangan Setiausaha Agung DAP yang juga menteri kanan Kerajaan Madani, Anthony Loke, supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat Azam Baki susulan pendedahan media antarabangsa Bloomberg berhubung dakwaan pegangan saham serta kewujudan rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat” yang dikaitkan dengan pegawai dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut BERSIH, jawatankuasa khas siasatan yang ditubuhkan kerajaan dan diketuai oleh Peguam Negara sebelum ini adalah tidak memadai untuk menangani isu berkenaan. Katanya, skop dan tahap keseriusan dakwaan yang menyentuh integriti institusi penguatkuasaan utama negara itu menuntut satu mekanisme siasatan yang benar-benar bebas, berwibawa serta mempunyai kuasa penuh.
“RCI dengan kuasa memanggil dan memeriksa saksi secara terbuka adalah instrumen paling sesuai untuk memastikan keyakinan awam dipulihkan serta menjamin prinsip akauntabiliti ditegakkan tanpa campur tangan Eksekutif,” menurut kenyataan itu.
Selain penubuhan RCI, BERSIH turut menggesa agar satu perbahasan khas dibenarkan di Dewan Rakyat berhubung isu integriti SPRM dan ketuanya. Mereka menegaskan isu berkenaan memenuhi syarat sebagai usul tergempar kerana berkepentingan awam, perlu disegerakan dan melibatkan perkara tertentu yang memerlukan perhatian segera ahli Parlimen.
BERSIH juga menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat menilai semula keputusan menolak perbahasan tersebut demi memastikan fungsi semak dan imbang Parlimen tidak terjejas. Dalam masa sama, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat disaran membuka inkuiri tersendiri secara terbuka dan telus.
Tegasnya, sebagai institusi yang diamanahkan memerangi rasuah negara, SPRM mesti berada pada tahap integriti dan kepercayaan awam yang tertinggi. Sebarang keraguan terhadap kepimpinan tertinggi agensi itu, katanya, bukan sahaja menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan, malah memberi implikasi besar terhadap keyakinan rakyat terhadap agenda memerangi rasuah kerajaan.
“Usaha memulihkan keyakinan awam tidak boleh bersifat separuh jalan. Ketelusan, kebebasan siasatan dan akauntabiliti adalah prasyarat untuk mempertahankan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang di negara ini,” menurut kenyataan tersebut.
#TawauKini

