KOTA KINABALU, 30 Mac 2026 – Dua anak kepada pemimpin tertinggi negeri Sabah antara penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hari ini.
Anak Musa, Hazem Mubarak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima darjah kebesaran sama ialah anak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Mohd Ghazali Hajiji, yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman.
Selain mereka, Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, anak kepada bekas Ketua UMNO Sabah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut dianugerahkan PGDK.
Mohd Kurniawan Naim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada 24 Januari lalu yang diadakan susulan kematian bapanya yang juga penyandang kerusi itu pada 5 Disember tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 79 individu yang menerima PGDK pada tahun ini.
Antara pemimpin politik lain yang turut menerima darjah kebesaran itu ialah bekas ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Ketua PKR Cabang Beaufort, Dikin Musah; serta Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.
Turut tersenarai sebagai penerima PGDK ialah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris; Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Shamshor Jaafar; Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Mohd Ainal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir; serta Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd, Saadiah Aziz.
Dalam kalangan ahli akademik, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Rossita Shapawi, serta Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, turut menerima darjah kebesaran tersebut.
Penerima lain termasuk Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara; serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
Secara keseluruhan, 1,026 individu tersenarai menerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan ulang tahun rasmi itu.
Senarai penerima didahului tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi yang juga Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd, Datuk Abdul Farish Abd Rashid, bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang menerima darjah kebesaran tertinggi negeri iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Majlis pengurniaan darjah kebesaran dan pingat berlangsung di Istana Seri Kinabalu selepas Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tun Musa Aman di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pagi tadi.
Anak Musa, Hajiji terima gelaran datuk



