Isu Azam Baki memuncak, aktivis & mahasiswa rancang demonstrasi 25 April, seru rakyat turun jalan

Isu Azam Baki memuncak, aktivis & mahasiswa rancang demonstrasi 25 April, seru rakyat turun jalan

PETALING JAYA, 30 Mac 2026 – Gabungan aktivis dan organisasi mahasiswa merancang satu demonstrasi pada 25 April ini di Dataran Merdeka bagi menyuarakan tuntutan berhubung isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sekretariat Tangkap Azam Baki dalam satu sidang media tergempar di Mandiri, Petaling Jaya mengumumkan bahawa mereka akan sekali lagi turun ke jalan raya bagi mendesak siasatan yang lebih telus dan menyeluruh berhubung kontroversi pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa mencemarkan integriti institusi penguatkuasaan negara.

Menurut sidang media yang hari ini, sehingga kini rakyat masih belum menerima penjelasan yang jelas dan tuntas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun kerajaan berhubung isu berkenaan.

Sekretariat itu turut mempersoalkan keberkesanan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kabinet bagi meneliti isu tersebut, dengan mendakwa langkah itu hanya dilihat sebagai taktik melengah-lengahkan masa dan mengalih perhatian rakyat.

“Sehingga hari ini sudah lebih sebulan jawatankuasa itu ditubuhkan, namun masih belum ada pengumuman atau perkembangan yang meyakinkan rakyat bahawa siasatan berjalan secara telus,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka turut mendakwa pelbagai pendedahan berkaitan isu berkenaan terus muncul, namun tindakan konkrit daripada pihak berkuasa masih belum kelihatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa institusi penguatkuasaan negara sedang berhadapan krisis integriti yang serius.

Sekretariat berkenaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan pengaruh “mafia korporat” yang didakwa mampu menunggang agensi penguatkuasaan negara bagi kepentingan tertentu.

“Rakyat sudah muak dengan kelambatan kerajaan menangani isu korupsi melibatkan Azam Baki dan dakwaan mafia korporat yang didakwa berakar dalam institusi penguatkuasaan,” kata mereka.

Sehubungan itu, sekretariat berkenaan menyatakan bahawa demonstrasi jalanan dilihat sebagai cara terakhir untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas.

“Kerajaan sudah tidak faham bahasa lagi melainkan bahasa jalan raya. Bahasa jalan rayalah yang akan menjadi cambuk mendesak mereka melakukan perkara yang betul,” tegas kenyataan itu.

Demonstrasi yang dirancang pada 25 April di Dataran Merdeka itu akan membawa tiga tuntutan utama iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan, penahanan Azam Baki serta reformasi menyeluruh terhadap SPRM.

Selain itu, mereka turut menuntut jaminan kebebasan bersuara kepada pertubuhan masyarakat sivil, aktivis, ahli akademik dan rakyat yang mengkritik isu rasuah serta salah laku dalam pentadbiran negara.

Bagi menggerakkan sokongan rakyat, sekretariat tersebut turut merancang siri jelajah ke beberapa negeri dalam tempoh terdekat sebelum himpunan besar itu berlangsung.

Demonstrasi ini disokong oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil, gerakan mahasiswa serta parti politik termasuk BERSIH, Parti Sosialis Malaysia (PSM), MUDA, SUARAM, serta beberapa gabungan mahasiswa dari universiti awam.

Sekretariat itu menyeru orang ramai untuk turun menyatakan solidariti dalam usaha membersihkan rasuah dan mempertahankan integriti institusi negara.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *