KOTA KINABALU, 17 Mac 2026 – Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini, dengan kira-kira 90 peratus persiapan dilaporkan telah siap setakat ini.
Sumber memaklumkan, program sambutan akan dimulakan lebih awal menerusi majlis kesyukuran, doa selamat dan solat hajat yang dijadualkan berlangsung di Masjid Negeri Sabah pada 27 Mac.
Acara kemuncak pula akan diadakan pada 30 Mac dengan Istiadat Perbarisan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Selain itu, beberapa istiadat rasmi lain turut dijadualkan termasuk Majlis Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat Kebesaran Sabah di Istana Negeri serta Majlis Jamuan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam pada itu, pelbagai program sampingan juga dirancang bagi memeriahkan sambutan, antaranya Majlis Perasmian Karya Perdana Pilihan Tahunan Negeri Sabah ke-40, Pameran Khas Dirgahayu TYT, Majlis Jamuan Teh bersama kanak-kanak serta Program Jalan Bersama Rakyat Santai Riadah Perpaduan bersama TYT.
Penganjuran sambutan itu diharapkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, sekali gus memberi makna kepada seluruh rakyat Sabah.
#TawauKini

