Enam Mahasiswa heret Kerajaan Malaysia ke mahkamah, fail saman isu penebangan hutan

Enam Mahasiswa heret Kerajaan Malaysia ke mahkamah, fail saman isu penebangan hutan

KUALA LUMPUR, 11 April 2026 – Enam mahasiswa dan anak muda Malaysia memfailkan saman terhadap kerajaan dalam satu tindakan bersejarah yang dilihat sebagai litigasi iklim pertama negara berasaskan hak perlembagaan, menuntut perlindungan hutan negara dikekalkan.

Enam pemohon tersebut ialah Sitti Fatimah (25), Winona Elisha Jemak (23), Lee Yu Dong (20), Adom Teh (20), Amira Aliya (18) dan Abe Lim (30), terdiri daripada mahasiswa dan aktivis iklim dari Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Johor.

Tindakan melalui semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2026, dengan menamakan Kerajaan Malaysia serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sebagai responden.

Mereka diwakili pasukan peguam diketuai Ambiga Sreenevasan bersama Lim Wei Jiet.

Cabar janji lama kerajaan sejak 1992

Saman itu mencabar kegagalan kerajaan menunaikan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara sebagai hutan – janji yang dibuat ketika Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia ke-4).

Menurut pemohon, kegagalan mengekalkan komitmen tersebut kini memberi kesan langsung kepada alam sekitar dan masa depan generasi muda.

Kes ini bersandarkan dua peruntukan utama Perlembagaan Persekutuan:

  • Perkara 5 – hak untuk hidup
  • Perkara 8 – hak kesamarataan

Mereka berhujah bahawa penebangan hutan secara tidak terkawal melanggar hak asas rakyat, khususnya golongan muda yang akan menanggung kesan perubahan iklim.

laman web manahutankami.com

Risiko kehilangan hutan semula jadi berskala besar

Antara fakta utama yang dibangkitkan dalam permohonan ialah laporan pakar yang menunjukkan antara 4.27 hingga 4.51 juta hektar hutan semula jadi berisiko ditukar kepada kegunaan komersial – keluasan hampir menyamai negara Switzerland.

Pemohon memberi amaran bahawa keadaan ini boleh menyebabkan litupan hutan negara jatuh di bawah paras 50 peratus seperti yang dijanjikan.

Walaupun data rasmi menunjukkan Malaysia masih mempunyai sekitar 54% hingga 55.3% litupan hutan (sekitar 18 hingga 18.27 juta hektar), pemohon menegaskan angka tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar ekosistem di lapangan.

Tuntutan mahkamah dan tarikh penting

Dalam tindakan ini, pemohon menuntut:

  • Pengisytiharan bahawa hak perlembagaan mereka telah dilanggar
  • Perintah mandatori agar kerajaan mengekalkan litupan hutan 50%
  • Pelaksanaan langkah pemulihan termasuk melalui Majlis Tanah Negara
  • Laporan kemajuan dikemukakan setiap 90 hari

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Mei 2026 sebagai tarikh pendengaran bagi kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman tersebut.

“Bukan sekadar angka, ini realiti di lapangan”

Menurut peguam pemohon, pembangunan tanpa kawalan telah memindahkan risiko perubahan iklim secara tidak adil kepada generasi muda dan kanak-kanak.

Sementara itu, Abe Lim menegaskan tindakan ini bukan sekadar perdebatan teknikal, tetapi berpaksikan realiti di lapangan apabila ekosistem hutan semakin terhakis walaupun statistik rasmi menunjukkan sebaliknya.

Sekiranya berjaya, kes ini dijangka menjadi penanda aras penting, bukan sahaja di Malaysia malah berpotensi membuka ruang kepada litigasi iklim serupa di seluruh Asia Tenggara.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *