Di Sebalik Sorakan Juara Sabah FC, MFL Hulur Bantuan RM20,000 Buat Mangsa Kebakaran Sandakan

KOTA KINABALU – Di sebalik kegembiraan ribuan penyokong meraikan kejayaan Sabah FC menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup 2026, suasana di Stadium Likas turut diselubungi rasa simpati apabila pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyerahkan bantuan khas kepada mangsa kebakaran di Sandakan.

Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, MFL menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada tabung Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Batu Sapi yang melibatkan lebih 9,000 penduduk.

Penyerahan sumbangan berbentuk cek replika itu dilakukan sebelum sepak mula perlawanan akhir, disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad, kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Turut mengiringi majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah MFL, Iswandi Ali Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin.

Menurut MFL, sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat tragedi kebakaran serta memberi sedikit kelegaan kepada mereka dalam menghadapi situasi sukar.

Sabah FC Buktikan Keunggulan, Juara Challenge Cup 2026

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik, Sabah FC membuktikan keunggulan apabila berjaya menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

Kejayaan itu disambut penuh emosi oleh ribuan penyokong setia yang memenuhi Stadium Likas, sekali gus menandakan satu lagi detik bersejarah buat bola sepak negeri Sabah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian bermakna yang mencerminkan ketahanan mental, disiplin tinggi serta semangat juang luar biasa dipamerkan pemain sepanjang perlawanan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan padu sehingga menjadi pemangkin semangat kepada pasukan di saat-saat genting.

Bonus Kemenangan Jadi Suntikan Semangat

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Sabah FC serta mengumumkan pemberian bonus kemenangan sebanyak RM500,000 kepada pasukan.

Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pencapaian tersebut, kementerian melalui Nizam Abu Bakar Titingan turut menyalurkan insentif tambahan sebanyak RM200,000 kepada pasukan.

Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan besar itu, tindakan MFL menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Sandakan mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti bola sepak negara.

Kejayaan Sabah FC diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negeri, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus aktif dalam bidang sukan, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *