TAWAU – Hospital Tawau mencipta pencapaian membanggakan apabila menjadi hospital pertama di Sabah dan hospital keempat di Malaysia menerima Anugerah Angels (Angels Award), pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha menyediakan rangkaian rawatan strok yang berkualiti kepada pesakit.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama pengurusan hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta pasukan pakar, khususnya pakar neurologi yang terlibat dalam rawatan pesakit strok.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pencapaian institusi, sebaliknya mencerminkan komitmen petugas kesihatan untuk memastikan pesakit strok menerima rawatan yang sewajarnya dalam tempoh kritikal.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan di Hospital Tawau.
Anugerah Angels merupakan inisiatif berkaitan rawatan strok di bawah World Stroke Organization (WSO), yang bertujuan mengiktiraf hospital atau fasiliti kesihatan yang berjaya membangunkan rangkaian rawatan strok yang baik.
Sebelum Hospital Tawau, hospital yang dilaporkan menerima pengiktirafan itu termasuk Hospital Taiping di Perak, Hospital Kuching di Sarawak dan sebuah hospital di Pulau Pinang.
Dr. Mohd Azman berkata, rawatan awal amat penting kerana strok boleh menyebabkan pesakit mengalami kelemahan anggota badan, masalah pertuturan, hilang keupayaan bergerak dan dalam keadaan serius, menjadi terlantar serta memerlukan bantuan berterusan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa strok mempunyai kaitan dengan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD), terutama tekanan darah tinggi dan diabetes.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengutamakan pencegahan dengan mengawal penyakit sedia ada, mendapatkan nasihat pakar perubatan serta mematuhi pengambilan ubat yang ditetapkan.
“Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Pematuhan terhadap pengambilan ubat sangat penting supaya kita dapat mengelakkan komplikasi seperti strok,” katanya.
41 pesakit menerima rawatan strok setakat Oktober
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohd Azman memaklumkan seramai 41 pesakit telah menerima rawatan menerusi rangkaian rawatan strok Hospital Tawau setakat Oktober tahun ini, meningkat berbanding 25 pesakit pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, majoriti pesakit yang menerima rawatan berkenaan dilaporkan berupaya kembali bekerja atau menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun tahap pemulihan bergantung pada jenis dan keadaan strok yang dialami.

Beliau menjelaskan, strok akibat sumbatan saluran darah ke otak atau strok iskemia berpotensi menunjukkan pemulihan yang cepat sekiranya pesakit mendapat rawatan sesuai pada peringkat awal. Bagaimanapun, strok akibat pendarahan dalam otak mungkin memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.
Beliau berharap kejayaan Hospital Tawau menjadi dorongan kepada hospital daerah lain di Sabah untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan rawatan strok.
Katanya, perkara paling penting bukanlah anugerah yang diterima, tetapi keupayaan fasiliti kesihatan memberikan rawatan terbaik kepada masyarakat.
Makmal Patologi Anatomi pertama di Pantai Timur Sabah
Dalam acara sama, Dr. Mohd Azman turut merasmikan Makmal Patologi Anatomi di Hospital Tawau yang disifatkan sebagai makmal pertama seumpamanya di Pantai Timur Sabah, dilengkapi peralatan terkini serta sokongan kepakaran patologi.
Beliau berkata, kemudahan itu penting untuk mempercepatkan proses diagnosis penyakit menerusi pemeriksaan tisu, termasuk ujian histopatologi bagi menentukan sifat sesuatu ketumbuhan yang dikeluarkan melalui pembedahan.
Keputusan pemeriksaan tisu yang lebih cepat membolehkan doktor mengenal pasti jenis penyakit dengan lebih tepat dan merancang rawatan yang bersesuaian, khususnya bagi pesakit kanser yang mungkin memerlukan rawatan khusus.

Menurutnya, kewujudan makmal itu juga dijangka mengurangkan keperluan menghantar sampel tisu ke pusat lain, termasuk di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur, sekali gus membantu mempercepatkan proses diagnosis bagi pesakit di Tawau dan kawasan Pantai Timur Sabah.
Makmal berkenaan turut disokong dua pakar patologi bersama petugas perubatan dan tenaga teknologi makmal bagi membantu memastikan proses pemeriksaan serta diagnosis dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kedua-dua pencapaian itu memperkukuh peranan Hospital Tawau sebagai pusat penting perkhidmatan kesihatan di Pantai Timur Sabah, khususnya dalam rawatan strok dan diagnosis penyakit yang memerlukan pemeriksaan tisu secara khusus.