KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn. Bhd. berkuat kuasa 31 Mac 2026 selepas didapati gagal mengurus perjalanan jemaah umrah sehingga menyebabkan 36 jemaah terkandas di Madinah, Arab Saudi.
Menurut MOTAC, syarikat berkenaan didapati gagal membuat tempahan awal bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti yang dijanjikan dalam pakej umrah, selain tidak mematuhi jadual perjalanan pelancongan yang ditetapkan.
Malah, syarikat itu juga didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada jemaah yang terlibat, sekali gus menimbulkan tekanan kewangan, risiko keselamatan serta gangguan terhadap perjalanan ibadah mereka.
MOTAC berkata tindakan tersebut merupakan pelanggaran syarat lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], selain menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap industri pelancongan negara.
Sehubungan itu, kementerian menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha pelancongan berlesen yang melanggar undang-undang sehingga boleh memudaratkan kepentingan awam.
#TawauKini




