BEIJING, 9 Mac 2026 – Tular di China apabila warganegara itu berpakat mendermakan duit mereka kepada Iran sebagai simbol penentangan terhadap imperialis barat, susulan ‘Operation Epic Fury’ dilancarkan AS – Israel terhadap Iran sejak 9 hari lalu.
Ribuan rakyat China dilaporkan berkongsi tangkap layar sumbangan derma mereka kepada Kedutaan Iran di China di platform media sosial, sambil menggesa orang ramai untuk turut menyumbang sebagai tanda solidariti.
Menurut laporan akhbar Hong Kong South China Morning Post, gelombang simpati terhadap Iran tercetus dalam kalangan pengguna media sosial China selepas serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel minggu lalu.
Situasi itu menyebabkan pihak Embassy of the Islamic Republic of Iran in China tampil mengeluarkan kenyataan rasmi pada Khamis, mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat China namun memaklumkan bahawa buat masa ini mereka tidak menerima bantuan kewangan daripada individu atau organisasi China.
Dalam kenyataan tersebut, kedutaan itu menyatakan penghargaan kepada rakyat China yang disifatkan sebagai “berperikemanusiaan dan menegakkan keadilan” kerana menunjukkan solidariti terhadap rakyat Iran serta mengecam serangan yang didakwa menyasarkan kanak-kanak dan orang awam.
Menurut kedutaan itu lagi, selepas menilai kemampuan semasa negara tersebut, Iran berpendapat bahawa bantuan kewangan daripada orang ramai di China belum diperlukan pada peringkat ini, namun tidak menolak kemungkinan pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya keadaan berubah.
Kerajaan China sebelum ini turut mengecam serangan ketenteraan oleh United States dan Israel terhadap Iran, selain menyeru semua pihak supaya meredakan ketegangan serta menyelesaikan konflik melalui saluran diplomatik.
Tangkapan layar derma yang dikongsi netizen China di media sosial pula kini tular, memperlihatkan bagaimana sebahagian masyarakat negara itu cuba menunjukkan solidariti mereka kepada Iran walaupun kedutaan negara tersebut menyatakan bantuan kewangan belum diperlukan buat masa ini.





