Gangguan talian – CelcomDigi mohon maaf, beri internet percuma selama 2 jam

CelcomDigi

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2026 – CelcomDigi mengesahkan sebahagian pelanggan mereka mengalami gangguan perkhidmatan data buat sementara waktu susulan kerja naik taraf sistem yang dijalankan baru-baru ini.

Menurut kenyataan syarikat itu, gangguan tersebut hanya melibatkan perkhidmatan data, manakala panggilan suara kekal beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan. Pihaknya turut memaklumkan bahawa semua perkhidmatan kini telah pulih sepenuhnya.

Sebagai langkah pemulihan, pelanggan disarankan untuk mengaktifkan dan mematikan semula mod pesawat (Flight Mode) pada peranti masing-masing bagi memastikan sambungan kembali stabil.

Dalam perkembangan sama, CelcomDigi hari ini mengumumkan pemberian internet percuma selama dua jam, bermula 3 petang hingga 5 petang, sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan susulan kesulitan yang berlaku.

Syarikat itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh gangguan tersebut.

#TawauKini