TAWAU – Sebanyak 11,783 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS), dengan tiga premis di kawasan Kubota, Tawau, turut dianugerahkan pengiktirafan yang sama. Pengiktirafan ini diberikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dalam program tinjauan mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs).
Pengiktirafan BeSS adalah inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diberikan kepada premis yang telah diperiksa dan memenuhi kriteria kebersihan serta keselamatan tertentu. Dalam hantaran di laman Facebook, KKM menyatakan bahawa Program BeBAs melibatkan kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, dan NGO. Program ini memberi penekanan kepada pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.
“Persekitaran bebas tanpa amalan merokok amat penting untuk mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat. Hal ini selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rokok pada tahun 2040,” menurut hantaran KKM di Facebook. Dr. Dzulkefly dalam hantaran di laman Facebook beliau menyatakan bahawa Tawau adalah lokasi ketiga bagi pelaksanaan program BeBAs, selepas Persiaran Waterfront Port Dickson dan Jalan Alor, Bukit Bintang, yang diadakan masing-masing pada Jun dan Februari.
“Program ini bertujuan menerapkan pemahaman dan pematuhan masyarakat. Terutama pengusaha premis makanan dan penjaja, terhadap kepentingan kebersihan premis makanan dan larangan merokok,” katanya. Dalam program ini, Dr. Dzulkefly turut menyampaikan plak pengiktirafan BeSS kepada premis yang cemerlang. “Tahniah kepada semua penerima atas pencapaian anda,” katanya lagi.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa kejayaan negara dalam memerangi amalan merokok bergantung kepada keterlibatan semua pihak dan individu. “Tanpa sokongan dan kerjasama anda semua, usaha ini tidak mungkin akan berjaya,” ujarnya. – BERNAMA
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini