Jabatan Hidupan Liar Tawau tumpaskan buaya 9.6 kaki di Jalan Semporna

buaya 9.6 kaki

Seekor buaya yang dipercayai mengancam keselamatan pekerja ladang di Jalan Semporna ditembak mati selepas beberapa kali dilihat berkeliaran berhampiran kawasan operasi ladang.

Reptilia sepanjang kira-kira 9.6 kaki itu dikatakan sering muncul di kawasan berhampiran tempat pekerja menjalankan tugas sehingga menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku serangan.

Situasi berkenaan kemudian dilaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau sebelum pasukan penguat kuasa jabatan itu menjalankan operasi pemantauan di lokasi terbabit.

Menurut sumber, operasi dijalankan susulan aduan pihak ladang yang mendakwa kehadiran buaya 9.6 kaki terbabit semakin kerap dan boleh mengundang risiko kepada pekerja.

“Hasil tindakan dijalankan, pasukan JHL berjaya mengesan dan menewaskan buaya terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pekerja di kawasan ladang berkenaan,” katanya.

Difahamkan, kawasan ladang yang terletak berhampiran sungai serta laluan air dipercayai menjadi faktor reptilia berkenaan memasuki kawasan operasi pekerja.

Berikutan itu, orang ramai terutama pekerja ladang diminta meningkatkan langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan berair atau berhampiran sungai kerana dikhuatiri masih terdapat buaya lain di habitat sama.

“Masyarakat juga diminta segera melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya ternampak kelibat buaya bagi mengelakkan risiko serangan terhadap manusia,” katanya.