TAWAU – Pasukan Emergency Response Team (ERT) di premis-premis perhotelan dan perkilangan perlu terus diperkasa bagi memastikan tindakan awal dapat dilakukan dengan pantas sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy, berkata peranan ERT amat penting kerana mereka merupakan “first-hand responder” atau pasukan tindak balas awal di lapangan ketika berdepan insiden tidak diingini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Emergency Response Team (ERT) 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah.
“Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan memantapkan setiap pasukan ERT di kilang atau hotel yang terlibat.
“Sebelum bomba tiba di lokasi, mereka inilah yang perlu bertindak sewajarnya untuk mengekang kebakaran daripada menjadi lebih besar,” katanya.
Penyertaan Paling Ramai, 37 Pasukan Sertai Latihan
Menurut beliau, program latihan tahunan itu menerima sambutan amat menggalakkan apabila mencatat penyertaan sebanyak 37 pasukan, menjadikannya jumlah tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, sambutan positif tersebut membuktikan semakin banyak industri menyedari kepentingan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
“Malah masih banyak syarikat mahu menyertai tetapi penyertaan kali ini sudah sangat memberangsangkan. Ini peluang baik untuk pihak bomba meningkatkan lagi kapasiti program pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan latihan seperti itu sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara agensi, industri dan komuniti setempat.
Premis Digesa Pastikan ERT Sentiasa Bersedia
Dalam pada itu, Datuk Andi Suryady Bandy menyeru syarikat-syarikat besar serta premis yang mempunyai pasukan ERT supaya sentiasa memastikan anggota mereka memahami prosedur keselamatan dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Katanya, kesiapsiagaan bukan sahaja melibatkan latihan, tetapi juga aspek peralatan serta sokongan berterusan daripada pihak pengurusan.
“Saya menyarankan agar syarikat yang berkepentingan memastikan ERT di premis masing-masing berada dalam keadaan terbaik kerana ini merupakan antara perkara penting yang perlu dipatuhi mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Galak Lebih Ramai Anak Muda Sertai Bomba Sukarela
Mengulas cadangan penubuhan lebih banyak pasukan bomba sukarela di kawasan Kalabakan, beliau berkata usaha tersebut sememangnya digalakkan, khususnya melibatkan penyertaan golongan muda.
Katanya, kawasan pedalaman dan lokasi sukar dicapai memerlukan sokongan komuniti setempat bagi memastikan bantuan awal dapat diberikan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Di Parlimen Kalabakan memang sudah ada beberapa pasukan bomba sukarela di bawah seliaan pihak bomba Tawau, tetapi kita mahu lebih ramai terutama golongan muda tampil menyertai.
“Kalau tidak ada penyertaan masyarakat tempatan, khususnya di kawasan jauh, ia akan menyukarkan operasi bantuan kecemasan,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap aspek peralatan dan keperluan bomba sukarela dapat terus dipertingkat melalui bantuan pelbagai pihak.