Insiden langgar lari yang melibatkan peserta maraton dan petugas acara larian Borneo International Marathon 2026 telah mengakibatkan berlakunya kecederaan.
Menurut kenyataan Kinabalu Running Club, insiden terbabit berlaku semasa acara berkenaan berlangsung di sini pada Ahad.
Dua individu yang cedera iaitu peserta dan petugas RELA menerima rawatan oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian.
Semasa kejadian, ahli jawatankuasa penganjur segera menghubungi ahli keluarga mangsa dan memastikan keadaan kedua-dua mangsa stabil.
“Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa berkaitan.
“Kami akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Pihak penganjur amat mengutamakan keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas acara sepanjang penganjuran acara ini,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, semua pengguna jalan raya diminta supaya menghormati penutupan jalan, langkah keselamatan acara maraton serta kehadiran pelari dan petugas ketika acara sukan berlangsung.
Kinabalu Running Club turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas membantu ketika kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan pihak yang terbabit.