Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Sabah hari ini bagi menyertai Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Mei.
Keberangkatan baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu disambut oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Ekspedisi itu dijadual membawa Tengku Hassanal mendaki Gunung Kinabalu bersama anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebahagian program ketahanan fizikal serta simbolik semangat kepimpinan dan perpaduan.
Program berkenaan turut dilihat sebagai usaha mengeratkan hubungan antara Pahang dan Sabah selain memberi inspirasi kepada golongan belia menerusi pendekatan berteraskan disiplin, semangat berpasukan dan daya tahan.
Difahamkan, baginda turut dijadual menghadiri beberapa program sepanjang berada di Sabah sebelum ekspedisi berakhir Rabu ini.