Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah bagi membantu memantau pelaksanaan projek pembangunan di negeri Sabah.
Pelantikan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor menerusi penyerahan surat pelantikan di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.
Salleh menerusi kenyataan ringkas menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab berkenaan. Beliau turut menyatakan komitmen untuk membantu memastikan pelaksanaan projek pembangunan negeri berjalan lebih berkesan demi kepentingan rakyat Sabah.
Jawatan itu dijangka memberi fokus kepada aspek pemantauan dan penilaian pelaksanaan projek kerajaan termasuk mengenal pasti isu yang boleh menjejaskan kemajuan projek di lapangan.
Salleh sebelum ini mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri dan persekutuan, termasuk pernah memegang jawatan Ketua Menteri Sabah serta beberapa portfolio penting di peringkat kerajaan persekutuan.