Kesemua aktivis di atas puluhan kapal berkenaan didakwa telah ditahan oleh tentera rejim Zionis ketika misi berkenaan hampir memasuki kawasan berhampiran Gaza.
Sebanyak 21 bot dilaporkan dipintas pada 29 dan 30 April lalu di perairan Greece, sebelum 54 lagi bot meneruskan pelayaran dari Turki pada 14 Mei 2026 dalam usaha meneruskan misi kemanusiaan berkenaan.
Difahamkan, flotila terbabit dijangka tiba berhampiran pantai Gaza sekitar awal pagi, namun kesemua kapal dikatakan telah ditawan di kawasan yang digelar sebagai “zon merah”.
Lebih menyentuh emosi, 10 kapal terakhir dilaporkan hanya berbaki kurang 90 batu nautika sahaja sebelum tiba ke pantai Gaza, menjadikan usaha tersebut seolah-olah tinggal sedikit lagi untuk berjaya.

Misi Sumud Flotilla 2.0 dilaporkan telah berada di lautan selama lebih sebulan selepas memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona pada 12 April 2026, dengan matlamat membawa bantuan serta menzahirkan solidariti antarabangsa terhadap penduduk Gaza yang berdepan konflik berpanjangan.
Sepanjang tempoh pelayaran, para aktivis dipercayai berdepan pelbagai cabaran dan risiko demi cuba memecahkan sekatan ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Walaupun misi kali ini didakwa gagal mencapai destinasi akhir, semangat para aktivis dilihat tidak pernah luntur.
Seperti dipetik dalam perkongsian salah seorang pemimpin misi, dikenali sebagai Tuan Haji ZRA, menegaskan bahawa usaha tersebut tidak akan terhenti.
“Jika kali ini gagal, kami akan terus belayar di masa akan datang. Kami takkan berhenti selagi bumi Gaza dan Masjidil Aqsa mendapat kebebasan,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menzahirkan rasa sedih, simpati dan penghargaan terhadap pengorbanan para sukarelawan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi perjuangan kemanusiaan.
Dalam masa sama, orang ramai turut mendoakan agar semua aktivis yang terlibat diberikan perlindungan serta dibebaskan dengan segera.
Nota: Maklumat ini berdasarkan perkongsian di media sosial dan perkembangan semasa berkaitan misi berkenaan. Sebarang pengesahan lanjut tertakluk kepada kenyataan rasmi pihak berkaitan dan organisasi misi antarabangsa.