“Datang Ziarah, Tapi Tinggal Sampah?” – Keadaan Tanah Perkuburan Islamiah Tawau Undang Kebimbangan Warga Maya

TAWAU – Suasana tenang dan penuh keinsafan di kawasan Tanah Perkuburan Islamiah Tawau dicemari dengan isu kebersihan apabila timbunan sampah didakwa semakin membimbangkan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Norung Bolong, yang meluahkan kebimbangan terhadap keadaan kebersihan di kawasan tanah perkuburan berkenaan yang didakwa kurang terurus.

Menurut perkongsian tersebut, pelbagai jenis sampah dilihat berada di beberapa lokasi sekitar kawasan tanah perkuburan, termasuk botol plastik, karung terpakai, bekas makanan tapau berserta sisa makanan, kotak serta bahan binaan yang dipercayai dibuang secara tidak bertanggungjawab.

Beliau berharap pihak berkaitan termasuk pengurusan tanah perkuburan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan dapat memberikan perhatian lebih serius terhadap isu tersebut agar kawasan yang sepatutnya menjadi tempat ziarah dan mengingati kematian terus terpelihara kebersihannya.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan sama ada sampah berkenaan berpunca daripada pengunjung yang hadir menziarahi pusara atau individu yang sering berkumpul di kawasan terbabit.

“Apa yang pasti, kesedaran sivik sesetengah pihak masih berada pada tahap membimbangkan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu turut mengundang perbincangan dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya menyuarakan rasa sedih melihat keadaan sedemikian berlaku di kawasan perkuburan.

Pada masa sama, masyarakat turut diseru agar memainkan peranan bersama dalam menjaga kebersihan dengan membawa pulang sampah masing-masing sekiranya tiada tong sampah disediakan di lokasi.

Tanah perkuburan bukan sahaja tempat persemadian insan tersayang, malah menjadi lokasi yang sering diziarahi keluarga untuk mendoakan ahli keluarga yang telah pergi. Justeru, kebersihan dan penghormatan terhadap kawasan tersebut perlu menjadi tanggungjawab bersama demi menjaga kesucian serta keselesaan pengunjung.