Kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris nampaknya belum cukup untuk memuaskan hati Arsenal apabila pengendalinya, Mikel Arteta mahu pasukan itu menamatkan musim dengan satu lagi trofi besar di pentas Eropah.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu menegaskan pemain Arsenal kini berada dalam motivasi terbaik menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG).
Menurutnya, kejayaan merampas kejuaraan liga domestik telah menyuntik keyakinan lebih tinggi dalam kem Arsenal dan mereka mahu menggunakan momentum tersebut untuk memburu kejuaraan Eropah pertama kelab itu.
Arteta percaya semangat yang sedang dirasai skuad The Gunners ketika ini mampu menjadi kelebihan penting apabila turun berdepan wakil Perancis berkenaan nanti.
Beliau turut memberi bayangan bahawa Arsenal tidak mahu sekadar hadir ke perlawanan akhir, sebaliknya benar-benar mahu membawa pulang trofi Liga Juara-Juara ke London.
Selepas menunggu bertahun-tahun untuk kembali bergelar juara Liga Perdana Inggers, Arsenal kini hanya selangkah lagi untuk melengkapkan musim luar biasa mereka dengan gelaran paling berprestij di Eropah.
PSG pula dijangka menjadi cabaran besar buat Arsenal kerana kelab Perancis itu turut memburu trofi Liga Juara-Juara yang sama.