Kerajaan persekutuan mengunjurkan perbelanjaan subsidi petrol, diesel dan LPG bagi Sabah meningkat kepada RM3 bilion pada tahun 2026 berbanding RM1 bilion yang ditanggung pada 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu didorong oleh ketidaktentuan pasaran tenaga dunia susulan konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat.
Menurut beliau, perkembangan geopolitik tersebut turut menyebabkan kos pengangkutan dan perlindungan insurans meningkat, sekaligus memberi kesan kepada jumlah subsidi yang perlu disediakan kerajaan.
Katanya, unjuran asal kerajaan tidak mengambil kira perkembangan terkini termasuk serangan terhadap Iran serta ketegangan yang berlaku di Selat Hormuz yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global.
Beliau menjelaskan, walaupun kos yang perlu ditanggung kerajaan semakin meningkat, usaha mengekalkan kestabilan harga bahan api untuk rakyat tetap menjadi keutamaan.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah.
Pada masa sama, beliau menegaskan peningkatan perbelanjaan subsidi membuktikan komitmen berterusan kerajaan persekutuan dalam memastikan rakyat terus menikmati bekalan bahan api pada harga yang berpatutan.