AI Boleh Menulis, Tetapi Integriti dan Sentuhan Wartawan Tetap Tidak Terganti

AI Boleh Menulis, Tetapi Integriti dan Sentuhan Wartawan Tetap Tidak Terganti

TAWAU – Dalam era ledakan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), nilai integriti dan kredibiliti kekal menjadi tunjang utama dalam dunia kewartawanan bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap media terus terpelihara.

Bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Ketua Pengarang Tawaukini, Abdul Salam Undong, berkata tema tersebut bukan sekadar slogan, tetapi merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap pengamal media.

Menurut beliau, walaupun Tawaukini hanyalah sebuah portal media tempatan yang kecil berpangkalan di Tawau, pihaknya sentiasa berusaha memastikan prinsip integriti dan profesionalisme menjadi asas dalam setiap laporan yang diterbitkan.

“Sebagai sebuah media yang boleh dianggap kerdil berbanding organisasi media yang lebih besar, kami percaya kepercayaan pembaca adalah aset paling berharga.

“Kami mencuba sedaya upaya untuk memastikan Tawaukini menjadi sebuah media yang neutral agar rakyat mendapat informasi yang sepatutnya. Media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi juga platform menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat, khususnya golongan kelas bawah yang memerlukan akses kepada maklumat yang tepat dan mudah difahami,” katanya

Beliau berkata, dalam dunia yang dipenuhi pelbagai sumber maklumat dan media sosial, cabaran terbesar bukan lagi mendapatkan berita, sebaliknya memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat, seimbang dan bertanggungjawab.

Menyentuh mengenai perkembangan teknologi AI, Abdul Salam berkata kecerdasan buatan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada industri media, sebaliknya dimanfaatkan sebagai alat yang membantu memudahkan tugas kewartawanan.

“AI jangan dijadikan musuh. Kita perlu melihat AI sebagai alat bantu yang memudahkan kerja-kerja kewartawanan seperti transkripsi, penyusunan data dan penghasilan kandungan asas.

“AI memang canggih, tetapi pengalaman, pemerhatian di lapangan dan perasaan yang perlu diterjemahkan dalam sesebuah berita tidak mampu dilakukan oleh teknologi semata-mata. Ia hanya dapat dihasilkan oleh wartawan yang turun sendiri ke lokasi, bertemu masyarakat dan memahami konteks sebenar sesuatu peristiwa,” katanya.

Menurut beliau, teknologi mampu mempercepatkan proses kerja, namun tanggungjawab menyemak fakta, memahami konteks dan memastikan laporan yang seimbang tetap berada di bahu wartawan.

“Kepercayaan masyarakat tidak dibina dalam sehari. Ia dibina melalui konsistensi dalam menghasilkan laporan yang sahih, adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian menjelang Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang, yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

Abdul Salam berkata, perhimpunan terbesar warga media itu menjadi platform penting untuk memperkukuh profesionalisme serta mengingatkan semula peranan sebenar media sebagai jambatan antara masyarakat dan pihak berkepentingan.

“Besar atau kecil sesebuah organisasi media, tanggungjawabnya tetap sama iaitu menyampaikan kebenaran dengan penuh amanah.

“Pada akhirnya, kredibiliti itulah yang menentukan sama ada masyarakat akan terus mempercayai media atau sebaliknya. Kami mungkin kecil, tetapi kami percaya media yang berintegriti akan sentiasa mempunyai tempat di hati masyarakat,” katanya.

Sambutan HAWANA 2026 yang menghimpunkan pengamal media dari pelbagai platform tahun ini memberi penekanan kepada kepentingan integriti dan profesionalisme dalam memastikan industri media terus relevan serta diyakini masyarakat di tengah-tengah perubahan landskap digital yang semakin pesat.