Mayat Wanita Dilaporkan Hilang Ditemui Terapung Dalam Kolam Ikan di Tawau

Mayat Wanita Dilaporkan Hilang Ditemui Terapung Dalam Kolam Ikan di Tawau

TAWAU – Polis Daerah Tawau mengesahkan penemuan mayat seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah kolam ikan di kawasan Jalan Sin Onn Tiku, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat yang terapung di dalam kolam berkenaan sekitar jam 9.05 pagi.

“Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan berusia 29 tahun.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian serta pada tubuh badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan, pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.

Siasatan lanjut turut mendapati mangsa sebelum ini telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 14 Jun 2026 selepas keluar dari rumah dan tidak pulang semula. Mangsa juga difahamkan merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan si mati. Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan sedang menunggu keputusan ujian makmal lanjut,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan laporan kematian.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga si mati.

Sumber: Polis Daerah Tawau