Tropical Rainforest Run 2026 Kembali Gegar Taman Bukit Tawau

Tropical Rainforest Run 2026 Kembali Gegar Taman Bukit Tawau

TAWAU, 22 Jun – Keindahan hutan hujan tropika, cabaran meredah bukit dan sungai serta pengalaman berlari dalam khazanah alam semula jadi bakal kembali dinikmati menerusi penganjuran Tropical Rainforest Run (TRR) 2026 yang dijadual berlangsung di Taman Bukit Tawau pada 20 September depan.

Memasuki edisi kelima, acara berprestij itu dijangka menjadi antara pemangkin utama dalam memperkukuh promosi ekopelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, dengan sasaran menarik lebih ramai penyertaan dari dalam dan luar negara.

Anjuran Sri Pelancongan Sabah, anak syarikat Lembaga Pelancongan Sabah, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah serta pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TRR 2026 tampil dengan pembaharuan menerusi pengenalan kategori baharu sejauh 10 kilometer (km) selain kategori utama 28km yang terkenal dengan cabaran laluan lasak merentasi hutan tropika.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Hady Syam Nureddin, berkata kategori 10km diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peserta termasuk komuniti setempat, keluarga dan pelari rekreasi merasai pengalaman unik berlari dalam suasana hutan hujan tanpa perlu menempuh cabaran ekstrem kategori 28km.

“Kategori ini diwujudkan untuk membuka peluang kepada lebih ramai orang menikmati pengalaman berlari dalam persekitaran alam semula jadi yang indah dan unik di Taman Bukit Tawau,” katanya pada sidang media Tropical Rainforest Run 2026 di Bilik Mesyuarat Taman Bukit Tawau.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran sebelum ini yang menarik penyertaan pelari dari tujuh hingga lapan negara termasuk China, Hong Kong, Indonesia, Brunei, Kenya, Australia dan Amerika Syarikat membuktikan acara tersebut semakin mendapat perhatian komuniti larian antarabangsa.

“Dengan promosi yang lebih agresif dan kerjasama pelbagai pihak, kita menjangkakan penyertaan antarabangsa akan terus meningkat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata sambutan terhadap TRR 2026 akan menjadi persiapan penting bagi penganjuran edisi keenam pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Sementara itu, Pengurus Taman Bukit Tawau, Abdul Momin Jadil, berkata laluan kategori 28km masih mengekalkan identitinya yang mencabar dengan melalui kawasan hutan, bukit dan sungai, manakala kategori 10km akan menggunakan laluan baharu yang merentasi kawasan Ladang SD Guthrie Plantation.

Menurutnya, penggunaan laluan sedia ada adalah bagi memastikan ekosistem dan habitat semula jadi di Taman Bukit Tawau terus dipelihara tanpa menjejaskan flora dan fauna.

“Laluan baharu ini turut memberi peluang memperkenalkan Gunung Maria yang dirancang untuk dibuka kepada aktiviti pendakian pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Tropical Rainforest Run bukan sekadar acara sukan, tetapi medium berkesan memperkenalkan keunikan Taman Bukit Tawau sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, Pengurus Ladang SD Guthrie Plantation (Sabah) Sdn Bhd, Nur Harnizam Abdul Razak, berkata pihaknya akan terus menyokong penganjuran tersebut melalui penyediaan logistik, tenaga kerja dan penyertaan kakitangan syarikat.

Penganjuran TRR 2026 turut mendapat sokongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Majlis Perbandaran Tawau serta beberapa persatuan dan kelab larian tempatan.

Acara yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, itu diharap dapat terus meletakkan Taman Bukit Tawau sebagai destinasi utama sukan lasak dan ekopelancongan di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.