Seorang wanita pelayan restoran yang berperanan sebagai ‘ibu ayam’ dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang remaja perempuan untuk tujuan eksploitasi seksual.
Tertuduh, Nur Aisyah Udin, 20, warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 10 bulan 15 hari bagi tujuan eksploitasi seksual di sebuah bilik inap desa di Jalan Masjid (Fajar), di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 2 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, yang mengendalikan pendakwaan bersama Suhayl Aminin Sallehuddin, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam serta unsur eksploitasi terhadap mangsa.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan Ops Pintas (Pelacuran) yang dijalankan sempena sambutan Pesta Kaamatan di inap desa berkenaan.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menemui mangsa yang disyaki terbabit dalam aktiviti tidak bermoral sebelum siasatan lanjut mendapati remaja terbabit berada di bawah kawalan tertuduh.
Mangsa kemudian mendedahkan bahawa tertuduh berperanan sebagai ‘ibu ayam’ yang mengurus dan mengawal aktiviti pelacuran di premis terbabit.
Pendakwaan turut memaklumkan wang tunai RM150 dirampas daripada mangsa yang baru selesai melayani pelanggan, sekali gus menunjukkan wujud unsur eksploitasi seksual terhadap remaja terbabit.
Sementara itu, dalam prosiding sama, Nur Aisyah turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan imigresen berkenaan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan.
Hakim turut mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani tempoh pemenjaraannya.