Sewakan kad ATM dengan upah RM300, lelaki didenda RM10,000

Sewakan kad ATM dengan upah RM300, lelaki didenda RM10,000

Tindakan menyewakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya kepada pihak lain dengan upah RM300 membawa padah apabila seorang lelaki berusia 57 tahun dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Tham Yoo Tead, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Monica Linsua. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama setahun sekiranya denda tersebut gagal dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, Tham didakwa menyerahkan kawalan instrumen pembayaran yang berkaitan dengan akaun bank miliknya kepada individu lain tanpa kuasa yang sah. Kesalahan itu dilakukan di Cahaya Arty Enterprise, Sri Putatan Commercial Centre, Putatan antara 2 hingga 15 September 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, siasatan bermula selepas seorang peniaga wanita berusia 48 tahun membuat laporan polis berhubung gangguan yang diterimanya daripada individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.

Wanita itu dilaporkan meminjam RM6,500 daripada beberapa individu antara Februari hingga September 2025 dan telah membayar balik RM5,140. Namun, dia terus ditekan untuk membuat bayaran tambahan sehingga RM9,160 dalam tempoh yang dianggap tidak munasabah.

Desakan dan ancaman berterusan itu menyebabkan mangsa berasa takut, tertekan serta bimbang terhadap keselamatan dirinya dan keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.

Susulan siasatan, pihak berkuasa menahan Tham pada 6 Mac lalu. Hasil siasatan mendapati akaun bank miliknya digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa kepada sindiket pinjaman wang tanpa lesen terbabit.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh mengaku menerima bayaran RM300 sebagai upah kerana menyewakan kad ATM Bank Islam miliknya kepada pihak lain.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang lebih ringan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Difahamkan, tertuduh telah menjelaskan bayaran denda RM10,000 yang dikenakan oleh mahkamah.