TAWAU, 19 Jun – Konvensyen Badut Antarabangsa Borneo atau Borneo International Clown Convention (BICC) 2026 berpotensi menjadi antara acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan Sabah sekiranya penganjuran sulungnya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta dan pengunjung.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Dr Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal, berkata penganjuran bertaraf antarabangsa itu mampu menjadi produk pelancongan baharu yang unik sekali gus memperkukuh kedudukan Tawau sebagai destinasi acara kreatif di Sabah.

“Jika ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada peserta dan orang awam, kita akan mempertimbangkan untuk memasukkan BICC ke dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sabah bermula tahun hadapan,” katanya pada sidang media Borneo Discovery 2026 dan Borneo International Clown Convention (BICC) 2026 di Dewan Calvary, Tawau.
Konvensyen yang akan berlangsung di Calvary Tawau pada 3 hingga 5 Ogos depan itu telah menerima lebih 300 pendaftaran, termasuk 53 peserta antarabangsa dari Indonesia, Mexico, Amerika Syarikat, Thailand, Myanmar dan beberapa negara lain, selain penyertaan dari Semenanjung Malaysia serta Sarawak.
Menurut Dr Andi, BICC bukan sekadar mengetengahkan seni badut sebagai hiburan, malah menjadi platform pembangunan kreativiti menerusi pelbagai bengkel yang dikendalikan tenaga pengajar antarabangsa.
Antara pengisian yang disediakan termasuk bengkel solekan badut, seni memutar belon (balloon twisting) dan silap mata, yang memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran baharu dalam industri seni persembahan.
“Ramai beranggapan badut hanya untuk hiburan kanak-kanak, tetapi sebenarnya seni ini mempunyai nilai kreativiti yang luas dan mampu membuka peluang baharu kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut melibatkan penyertaan pelajar dari daerah Tawau dan Kalabakan bagi memberi pendedahan awal terhadap dunia seni persembahan dan kreativiti.
Penganjur menjangkakan lebih 500 pengunjung akan menghadiri konvensyen tersebut berdasarkan trend pendaftaran yang terus menunjukkan peningkatan.
Dalam pada itu, Sri Pelancongan Sabah, Sabah Tourism Board dan Tourism Malaysia akan bekerjasama mempromosikan BICC 2026 bagi menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa ke Tawau.

“Ini merupakan kali pertama program seperti ini dianjurkan di Sabah. Saya mengalu-alukan penggiat seni badut, ahli silap mata dan orang ramai dari seluruh negara untuk bersama-sama memeriahkan BICC 2026,” katanya.
Mengulas mengenai yuran penyertaan sebanyak RM480, Dr Andi berkata kadar tersebut ditetapkan bagi menampung kos membawa tenaga pengajar profesional dari luar negara.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri bersedia meneliti mekanisme sokongan pada masa hadapan sekiranya program itu membuktikan impak positif kepada pembangunan industri pelancongan dan ekonomi kreatif Sabah.
BICC 2026 dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan Tawau sebagai destinasi acara kreatif bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan imej Sabah sebagai hab pelancongan berasaskan seni, budaya dan kreativiti di rantau Borneo.