271 ahli Pengakap jayakan Kursus Ketua Patrol dan 6 Sekawan Zon 1 Tawau

271 ahli Pengakap jayakan Kursus Ketua Patrol dan 6 Sekawan Zon 1 Tawau

TAWAU: Seramai 271 ahli Pengakap menyertai Kursus Ketua Patrol dan 6 Sekawan Pengakap Zon 1 Tawau 2026 yang berlangsung selama tiga hari di SMK Pasir Putih, Tawau, bermula 19 hingga 21 Jun lalu.

Program tersebut dianjurkan bagi memperkukuhkan aspek kepimpinan, disiplin serta pembentukan sahsiah dalam kalangan ahli Pengakap di peringkat sekolah, sekaligus melahirkan generasi muda yang berwibawa dan bertanggungjawab.

Selain peserta, kursus berkenaan turut dibantu oleh 25 Guru Pemimpin Pengakap serta 56 Ahli Pengakap Kelana yang berkhidmat secara sukarela bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, Sektor Pembelajaran, Mohd Noor Kahal. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Pengakap Zon 1 Tawau, Mohd Dawud Abd Rashid dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau, Lee Chee Kiong.

Dalam ucapannya, Mohd Noor menegaskan bahawa aktiviti kokurikulum seperti Pengakap memainkan peranan penting dalam membentuk kepimpinan generasi muda. Menurut beliau, penyertaan aktif dalam program seumpama itu mampu melahirkan individu yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi.

Sementara itu, Mohd Dawud berkata pihak Pengakap Tawau akan terus komited menganjurkan pelbagai program pembangunan diri dan latihan kepimpinan untuk golongan muda, khususnya ahli-ahli Pengakap.

PENGAKAP

Beliau menjelaskan bahawa kursus seperti ini bukan sahaja membantu membentuk sahsiah dan kemahiran kepimpinan peserta, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta menjadi platform untuk menjauhkan golongan muda daripada pengaruh gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, terutama Guru Pemimpin Pengakap, Ahli Pengakap Kelana dan para sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga serta komitmen sepanjang kursus berlangsung.

Kursus tersebut selari dengan semangat “Bersedia untuk Berkhidmat”, yang terus menjadi pegangan warga Pengakap dalam usaha melahirkan generasi muda berilmu, berakhlak mulia dan sentiasa bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara.

Sumber : Alex Dennis, Pen. Pesuruhanjaya Pengakap Daerah Tawau.