TAWAU: Operasi Tapis Bersepadu Bilangan 1/2026 yang dilaksanakan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, pada 7 hingga 8 Julai lalu menyaksikan seramai 28 individu ditahan selepas didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada kejayaan menumpaskan satu kegiatan membabitkan bekalan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, tindakan itu disusuli dengan rampasan sebanyak 50.35 gram syabu, selain satu lagi kes memiliki dadah yang membabitkan rampasan 0.24 gram syabu.
“Seramai 36 orang menjalani ujian saringan air kencing dengan keputusan 28 individu didapati positif dadah manakala lapan lagi negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut mengesan satu kes di bawah Akta Racun 1952 apabila pihak berkuasa merampas sembilan liter cecair ketum serta 2,351.65 gram serbuk ketum.
Dalam operasi sama, seramai 30 individu turut dikenakan tindakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Tawau bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Operasi itu diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama IPD Semporna, IPD Kunak, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Keseluruhannya, operasi bersepadu tersebut membabitkan penyertaan seramai 169 pegawai, anggota serta petugas daripada agensi-agensi terlibat.
“JPJ Daerah Tawau turut mengeluarkan sebanyak 66 saman dan notis atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi bersepadu berkenaan,” katanya.