KV Skills perkasa kompetensi, lahirkan graduan TVET berkualiti

KV Skills perkasa kompetensi, lahirkan graduan TVET berkualiti

TAWAU – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi antara pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, perkembangan teknologi, automasi dan pendigitalan menjadikan TVET semakin signifikan dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.

KV SKILLS

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri, Tuan Justinus Jalang, ketika merasmikan Program KV Skills Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Kolej Vokasional Tawau, pada Rabu.

Menurut beliau, kolej-kolej vokasional di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir negara, sekali gus meningkatkan minat ibu bapa dan pelajar terhadap bidang TVET.

“Prospek kerjaya yang semakin luas menyebabkan semakin ramai memilih bidang kemahiran sebagai laluan pendidikan dan kerjaya,” katanya.

James berkata, Program KV Skills bukan sekadar platform pertandingan bagi menentukan pemenang, malah menjadi medan menguji kompetensi pelajar, meningkatkan keyakinan diri, membudayakan amalan kerja profesional serta memupuk semangat kerjasama dan kesukanan.

Katanya, program itu turut memberi peluang kepada peserta menilai tahap keupayaan masing-masing mengikut standard industri sebenar sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

KV SKILLS

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap penyertaan memberangsangkan daripada kolej-kolej vokasional di seluruh Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, penyertaan itu membuktikan pelajar TVET bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang tinggi, malah turut mempunyai kreativiti, inovasi dan semangat juang untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua peserta supaya menjadikan pertandingan berkenaan sebagai platform pembelajaran yang bermakna kerana pengalaman, ilmu, jaringan profesional serta nilai murni yang diperoleh lebih berharga daripada kemenangan semata-mata.

James turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah, jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan serta bimbingan kepada pelajar sehingga berjaya mengembangkan potensi mereka.

Beliau berharap Program KV Skills akan terus menjadi platform melahirkan graduan TVET yang kompeten, berintegriti dan bersedia memenuhi keperluan industri masa kini serta masa hadapan.

Katanya, kerajaan akan terus komited memperkasa agenda TVET sebagai antara pemacu utama pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Program KV Skills Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 menghimpunkan penyertaan pelajar kolej-kolej vokasional dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi mempamerkan kemahiran, kreativiti serta kompetensi dalam pelbagai bidang mengikut standard industri.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merangkap Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu, Ahmad Fakhurazi Hamzah; Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Mat Noor Sima; Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Zagina @ Sulaiman Achmad; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Tawau, Haji Ishak Japar; Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Tawau, Dr Azman Mansor; Ketua Jaminan Kualiti Kolej Vokasional Tawau, Lim Siew Khing; serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tawau, Haji Abd Rahman Lo.