TAWAU: Sebanyak 531 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Sabah setakat ini, sekali gus membuktikan masih banyak usaha perlu diperkasakan termasuk mengesan dan membantu mangsa yang tidak tampil membuat laporan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal berkata, program advokasi perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat selain menggalakkan lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa takut.
Menurut beliau, program sedemikian turut memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan daripada agensi serta jabatan berkaitan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada mangsa yang memerlukan.
“Lebih 50 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Tawau manakala di seluruh Sabah mencecah 531 kes setakat ini. Bahkan, masih terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi @ KRT Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita @ KRT) Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Tawau, pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.
Rina berkata, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif baharu bagi menggalakkan mangsa yang berdepan pelbagai kekangan untuk mendapatkan bantuan, termasuk pemberian insentif kewangan kepada mereka yang tampil, namun identiti mangsa tetap dirahsiakan.
Katanya, di peringkat kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada mangsa merangkumi kebajikan, kaunseling, khidmat nasihat serta bantuan lain yang diperlukan.
“Harapan kita agar dapat mengurangkan isu ini dan dapat menyedarkan lebih ramai mangsa bukan sahaja wanita, kanak-kanak tetapi siapa sahaja supaya berani mempertahankan hak serta nasib mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal, malah merangkumi keganasan mental dan emosi yang memberi impak besar terhadap kehidupan mangsa.
“Perbuatan ini mampu memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hilang motivasi untuk meneruskan hidup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keganasan rumah tangga tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan peribadi sesebuah keluarga, sebaliknya merupakan isu sosial yang memberi kesan besar terhadap kesejahteraan masyarakat, pembangunan modal insan serta masa depan generasi akan datang.
Menurutnya lagi, kehadiran orang ramai yang begitu menggalakkan pada program berkenaan membuktikan masyarakat kini semakin sedar dan tidak lagi mahu berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan dalam institusi keluarga.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa itu menghimpunkan lebih 700 peserta terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta orang awam daripada pelbagai latar belakang.
Antara pengisian program ialah ceramah kesedaran, slot perkongsian oleh panel daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Tawau dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain Jualan Rahmah serta jualan usahawan tempatan.