TAWAU – Polis Daerah Tawau menahan dua wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian gaduh gempar dan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang diterima berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua pelanggan wanita di premis makanan berkenaan.
Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku apabila kedua-dua wanita terbabit bertengkar sebelum pergaduhan itu mengakibatkan beberapa harta benda milik restoran mengalami kerosakan.
Susulan kejadian tersebut, wakil premis tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau.
Kedua-dua suspek merupakan wanita berusia 19 dan 20 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek ialah warga asing yang berada di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Suspek berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Semakan rekod lampau juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah sebelum ini, manakala tiada rampasan dibuat sepanjang operasi tangkapan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 160 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber : Polis Daerah Tawau