TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengugut bekas isterinya menggunakan senjata tajam ketika datang mengambil anak mereka di Kampung Kurnia Jaya, di sini.
Suspek yang berusia lingkungan 26 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata kejadian berlaku apabila suspek yang juga bekas suami pengadu datang ke rumah untuk mengambil anak mereka.
“Pengadu mendakwa ternampak suspek membawa senjata tajam sebelum suspek mengeluarkan ugutan berbaur ancaman terhadapnya sehingga menyebabkan mangsa bimbang akan keselamatan diri lalu tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada BSJ IPD Tawau segera menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan seorang warga asing yang berada dan menetap di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan seorang warga asing yang berada dan menetap di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Wilynton berkata kejayaan tangkapan tersebut membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Tawau, dalam mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PDRM, khususnya IPD Tawau, dalam mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui sebarang kejadian jenayah.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya.