KUALA LUMPUR – Sebanyak enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sabah yang telah mencapai kemajuan fizikal melebihi 90% dijangka disiapkan secara berperingkat bermula bulan ini hingga Disember 2026.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek berkenaan melibatkan RTB Sungai Rampayan di Menggatal, RTB Sungai Ketiau di Putatan, RTB Kawasan Persekitaran Lido PLSB Sungai Moyog di Penampang, RTB Sungai Padas di Tenom serta RTB Sungai Anip di Sandakan.
Beliau berkata, keenam-enam projek itu merupakan sebahagian daripada 15 projek dan kajian berkaitan tebatan banjir di Sabah yang sedang serta akan dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM1.49 bilion.
“Daripada jumlah itu, empat projek berada pada peringkat pra-pelaksanaan, 10 projek sedang dilaksanakan manakala satu lagi merupakan kajian di peringkat pasca-pelaksanaan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, beberapa projek lain yang kini berjalan mengikut jadual ialah RTB Sungai Likas, RTB Sungai Damai di Kota Kinabalu, Projek Mengatasi Banjir Pantai di Sabah serta Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 3.
Beliau berkata, projek yang masih berada pada peringkat prapelaksanaan pula melibatkan RTB Sungai Tawau Fasa 1A (Pakej 4), RTB Sungai Kedamaian dan Sungai Abai di Kota Belud, RTB Sungai Tangulan di Tuaran serta PLSB Sungai Moyog membabitkan Pakej 2A, 3A dan 4.
Katanya, penentuan keutamaan pelaksanaan projek di kawasan berisiko tinggi dibuat berdasarkan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dengan mengambil kira rekod kejadian banjir berulang, kepadatan penduduk, pendedahan aset awam serta keperluan intervensi teknikal di setiap lembangan sungai.
Antara kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi ialah Kota Kinabalu, Menggatal, Putatan, Penampang, Sandakan, Tenom, Tawau, Kota Belud, Pitas, Kota Marudu, Beaufort dan Tuaran.
“PETRA akan terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah secara berfasa berdasarkan tahap risiko, kelulusan peruntukan dan keperluan teknikal bagi mengurangkan impak banjir serta meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai langkah interim serta pemasangan sistem amaran awal banjir dan telemetri JPS di kawasan berisiko tinggi, Abdul Rahman memaklumkan bahawa PRAB Fasa 3 di Sabah bernilai RM142 juta kini mencatat kemajuan 24% dan dijangka siap pada Julai 2029.
Beliau turut memaklumkan JPS melaksanakan langkah jangka pendek melalui kerajaan negeri, termasuk kerja membaik pulih sungai bagi melancarkan aliran air sementara menunggu projek tebatan banjir disiapkan sepenuhnya.
– Utusan Borneo