Pelabuhan Tawau terima dua kren dermaga bernilai RM70 Juta

Pelabuhan Tawau terima dua kren dermaga bernilai RM70 Juta

TAWAU – Pelabuhan Tawau menerima dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta sebagai usaha meningkatkan kapasiti pengendalian kargo serta mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelaburan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memodenkan infrastruktur pelabuhan, sekaligus meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing pelabuhan di Sabah.

Menurut beliau, kedua-dua kren berkenaan dijangka meningkatkan produktiviti pengendalian kargo apabila mula beroperasi, selain mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh keupayaan Pelabuhan Tawau mengendalikan kapal bersaiz lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat.

“Pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kren Baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.

Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi negeri, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa penaiktarafan Pelabuhan Tawau akan memperkukuh kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai hab logistik dan perdagangan di Pantai Timur Sabah.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada SPSB, Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan mempertingkat infrastruktur maritim negeri selaras dengan agenda pembangunan Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata pelaburan RM70 juta tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk melengkapkan Pelabuhan Tawau dengan kemudahan moden yang mampu memenuhi keperluan perdagangan pada masa hadapan.

“Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, aktiviti perindustrian serta hubungan serantau di Pantai Timur Sabah.

“Pelaburan ini akan meningkatkan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi pertumbuhan perdagangan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.

– BERNAMA