TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha memelihara warisan budaya negara menerusi penganjuran tiga Kursus Bahasa Etnik bagi tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi asas serta penghayatan budaya masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff, inisiatif anjuran Unit Latihan, Bahagian Sumber Manusia (BSM) itu menawarkan Kursus Bahasa Kadazandusun, Kursus Bahasa Semai dan Kursus Bahasa Iban sebagai platform memperkasa pembangunan modal insan di samping memupuk semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara.
Md Amin berkata, usaha mempelajari bahasa etnik bukan sekadar menambah kemahiran komunikasi, malah memainkan peranan penting dalam memelihara identiti serta warisan budaya Malaysia yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk.
“Bahasa ialah khazanah bangsa yang mencerminkan sejarah, nilai dan jati diri sesuatu komuniti. Sebagai institusi pendidikan, UPSI bertanggungjawab memastikan warisan ini terus dipelihara melalui pendidikan, penyelidikan dan latihan yang mampu melahirkan generasi lebih inklusif serta menghargai kepelbagaian budaya negara.
“Kursus bahasa etnik yang diperkenalkan ini bukan sahaja membolehkan warga universiti menguasai kemahiran komunikasi asas, malah membuka ruang untuk memahami adat resam, budaya dan cara hidup masyarakat pelbagai etnik sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guru Bahasa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Nelson Ludie Usah ketika mengendalikan Kursus Asas Bahasa Iban kepada kakitangan UPSI di Makmal Mega, Aras 4, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Ketiga-tiga kursus berkenaan direka khusus menggunakan pendekatan pembelajaran yang interaktif, praktikal dan menyeronokkan bagi membantu peserta menguasai kemahiran komunikasi asas melalui latihan bertutur, simulasi perbualan, permainan bahasa serta pembelajaran berasaskan situasi sebenar.
Peserta turut didedahkan kepada asas tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat mudah yang membolehkan mereka berkomunikasi dalam pelbagai situasi harian seperti memperkenalkan diri, memberi salam, bertanyakan khabar dan berinteraksi dengan komuniti setempat.

Guru Bahasa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Zuraily Uda @ Longgok ketika mengendalikan Kursus Asas Bahasa Semai di Bilik Latihan Utama, Blok C, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Selain aspek bahasa, kursus berkenaan turut memberi penekanan kepada penghayatan budaya menerusi pendedahan terhadap adat resam, pakaian tradisional, makanan warisan, kesenian, muzik, tarian, perayaan serta nilai kehidupan masyarakat Kadazandusun, Semai dan Iban.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr. Minah Sintian ketika mengendalikan Kursus Asas Bahasa Kadazandusun di Dewan Sri Tanjong, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Pada masa sama, penganjuran kursus berkenaan turut menyokong usaha pemeliharaan bahasa etnik yang kini berdepan cabaran akibat arus pemodenan, urbanisasi dan dominasi penggunaan bahasa utama dalam kehidupan seharian.
“Inisiatif itu juga dijangka memberi manfaat kepada pensyarah, penyelidik dan kakitangan UPSI khususnya dalam bidang pendidikan, linguistik, antropologi, sosiologi, warisan budaya serta pelaksanaan program jaringan komuniti yang melibatkan masyarakat pelbagai etnik,” katanya.

Guru Bahasa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Nelson Ludie Usah (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama para peserta pada Kursus Asas Bahasa Iban di Makmal Mega, Aras 4, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr. Minah Sintian (duduk, tengah) bergambar bersama para peserta pada Kursus Asas Bahasa Kadazandusun di Dewan Sri Tanjong, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Sumber : BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI