LRA Apas Balung Beroperasi Pada 50% Kapasiti, Bekalan Air Dipulihkan Berperingkat

LRA Apas Balung Beroperasi Pada 50% Kapasiti, Bekalan Air Dipulihkan Berperingkat
TAWAU – Jabatan Air Sabah (JAS) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung Fasa 1 kini kembali beroperasi sebagai langkah awal ke arah pemulihan bekalan air kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Air Bahagian Tawau, loji berkenaan kini menghasilkan bekalan air sebanyak 9 Juta Liter Sehari (JLH), bersamaan kira-kira 50 peratus daripada kapasiti sebenar.

Sehubungan itu, Jabatan Air Sabah melaksanakan catuan bekalan air secara berperingkat bergantung kepada paras semasa tangki simpanan bagi memastikan agihan bekalan dapat dilakukan dengan lebih teratur kepada pengguna.

Dalam pada itu, LRA Apas Balung Fasa 2 masih dalam proses pembaikan dengan kerja-kerja pemulihan kini mencapai kira-kira 80 peratus siap.

Menurut jabatan itu, pasukan teknikal terus mempergiat usaha pembaikan bagi memastikan semua sistem dan komponen berada dalam keadaan selamat sebelum loji beroperasi sepenuhnya.
Bagi mengurangkan kesulitan pengguna sepanjang tempoh pemulihan, operasi penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki akan diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Jabatan Air Sabah turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan bekalan air secara berhemah dan berjimat cermat sepanjang tempoh pemulihan bagi membantu memastikan agihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Air Sabah menegaskan komitmennya untuk mempercepatkan proses pemulihan dan merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran, kefahaman serta kerjasama yang diberikan sepanjang gangguan bekalan air berlaku.