Rasmi! TawauKini Dilantik Rakan Liputan Langsung Tawau Marathon 2026

Rasmi! TawauKini Dilantik Rakan Liputan Langsung Tawau Marathon 2026

TAWAU – Penganjuran Tawau Marathon 2026 terus menerima sokongan pelbagai pihak apabila pihak penganjur mengumumkan pelantikan beberapa rakan media rasmi bagi memastikan setiap detik acara berprestij itu dapat dirakam dan dikongsikan kepada masyarakat.

Menerusi pengumuman yang dimuat naik di Facebook rasmi Tawau Marathon, TawauKini secara rasminya dilantik sebagai Rakan Liputan Langsung Rasmi (Official Event Live Coverage) yang akan membawakan kemeriahan Tawau Marathon 2026 secara langsung kepada masyarakat, termasuk mereka yang tidak dapat hadir ke lokasi acara.

Selain TawauKini, Sport Photography Tawau dilantik sebagai Pasukan Fotografi Rasmi bagi merakam setiap detik bermakna sepanjang perlumbaan, manakala RaceSniper menjadi Platform Media Rasmi yang membolehkan para peserta mendapatkan foto perlumbaan mereka dengan lebih mudah.

Bagi memeriahkan lagi liputan, kira-kira 15 jurugambar bebas turut dijangka berada di lokasi bagi memastikan setiap detik, daripada pelepasan peserta sehinggalah pelari terakhir melintasi garisan penamat, berjaya dirakam.

Mengulas pelantikan itu, Ketua Pengarang TawauKini, Abdul Salam Undong, berkata pihaknya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh penganjur dan melihat kerjasama tersebut sebagai satu tanggungjawab untuk bersama-sama mengangkat penganjuran acara sukan terbesar di Tawau.

“Kami di TawauKini sangat meraikan kerjasama ini bagi membantu menambahkan lagi kemeriahan Tawau Marathon pada tahun ini. Ia bukan sekadar acara sukan, tetapi merupakan platform yang menyatukan masyarakat Tawau daripada pelbagai lapisan serta antara acara yang paling dinantikan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan media tempatan dalam acara seperti Tawau Marathon amat penting kerana liputan yang meluas bukan sahaja dapat mempromosikan acara itu, malah memperkenalkan Tawau kepada masyarakat luar dan seterusnya membantu mengangkat nama daerah ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kerjasama antara Tawau Marathon dan media seperti TawauKini amat bertepatan dalam usaha memperkukuhkan promosi sukan tempatan. Apabila sesuatu acara mendapat liputan yang meluas, impaknya bukan sahaja kepada penganjur tetapi turut memberi nilai kepada sektor pelancongan, ekonomi dan imej Tawau sebagai sebuah bandar yang mampu menganjurkan acara bertaraf antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, TawauKini akan memberikan komitmen penuh menerusi liputan secara langsung, laporan berita, video, temu bual dan pelbagai kandungan digital sepanjang penganjuran berlangsung agar lebih ramai masyarakat dapat mengikuti kemeriahan acara tersebut.

Beliau turut berharap orang ramai terus memberikan sokongan kepada Tawau Marathon 2026 sama ada dengan menyertai perlumbaan, hadir sebagai penyokong mahupun mengikuti liputan secara dalam talian.

“Ini adalah bentuk sumbangan kami kepada Tawau Marathon dan juga masyarakat Tawau. Sebagai media tempatan, kami percaya kejayaan sesuatu acara bukan hanya bergantung kepada penganjur, tetapi memerlukan sokongan semua pihak termasuk media, komuniti, sukarelawan dan masyarakat. Apabila Tawau Marathon berjaya, secara tidak langsung nama Tawau juga akan terus dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Tawau Marathon 2026 dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Kompleks Sukan Tawau dan dijangka menghimpunkan ribuan pelari dari dalam serta luar negara.

Dengan kerjasama rakan-rakan media rasmi, penganjur berharap setiap langkah, semangat dan kejayaan para peserta dapat diabadikan sebagai kenangan bermakna, sekali gus menjadikan Tawau Marathon bukan sekadar sebuah acara larian, tetapi satu simbol perpaduan, gaya hidup sihat dan kebanggaan seluruh warga Tawau.